Kentut Bau Blume

3
“Kalau nasihat itu benda, ianya adalah kentut.”  

Fai menyemburkan sebahagian air yang dalam mulut tepat ke muka Jaja. Jaja menjeling Fai jengkel sambil memaki hamun dalam Bahasa Jerman.

“Maaf Jaja. Aku yakin hidup kau diberkati kerana mendapat blessing dari aku,” Fai mengambil tisu sambil mengelap air-air yang terpercik. Basah dua tisu. Mujur air kosong.

5 minit Fai dan Jaja gelak tanpa peduli orang keliling. Kedai makan itu penuh. Sekali sekala mereka dapat melihat orang menjeling. Menyampah mungkin. Jaja tidak peduli. Lagilah bila melihat yang menjeling ada rokok di celah dua jari, tidak segan silu menyembur asap ke ruang awam. Bagi Jaja itu lebih menjengkelkan dan memualkan.

 “Entschuldigung Jaja. Dalam hal serius kita bincang bila kau cakap macam tu aku tak dapat nak tahan gelak. Timing kau salah sebab aku baru teguk air.”

Ah so. Sukahati kau je Fai. Berapa kali dah orang dapat restu dari mulut kau ni?”

“Selain kau, Aran. Masa kami main bowling kelab. Salah dia sebab buat lawak masa aku tengah minum. Basah lenjun. Tapi dia bernasib malang sebab aku tak boleh tolong lap. Lelaki kan. Haram. Tak penting pun semua ni. Kenapa kau cakap nasihat tu kentut?”

 “Gila kau, depan lelaki pun tak boleh nak kawal. Kentut macam semburan kau la Fai. Kita suka je sedekah bau atau bunyi kat orang. Tapi kalau sendiri yang dapat memang seribu tahun kau sumpah seranah.”

“Yelah, BAU TELUR!” Jaja meniru lagak Johan dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. “Tapi sumpah, aku tak kentut depan orang. Aku duduk jauh-jauh masuk tandas kalau berhajat.”

“Tahu pula bersopan. Naluri perempuan dalam diri kau, aku rasa dah pupus.”

“Biarkan. Aku lagi suka nak dengar cerita kentut nasihat kau, atau lagi tepat kentut nasihat. Apa-apa jelah.”

Jaja ambil masa sendiri. Menyuap mee goreng yang tinggal sesudu dalam pinggan. “Aku cerita pasal diri sendiri je. Dalam banyak keadaan bila orang bagi nasihat, ada sesuatu yang menggelegak dalam badan. Ego aku cepat mendidih. Selalu aku akan menjawab, atau memotong sebelum orang habis cakap. Tapi akhir-akhir ini aku cuba untuk diam, dan memujuk ego aku untuk tenang.”

“Nasihat memang senang kita bagi orang. Lebih-lebih lagi kalau kau ada sedikit lebih.” Jaja menyambung selepas menghirup air sirap air ditambah biji chia sendiri. Senang nak buang air katanya.

“Sedikit lebih apa? Anuar Zain?”

“Itu sedetik lebih la. Sedikit lebih dalam apa-apa sahaja. Mungkin ilmu, duit, kekayaan, harta, pangkat, kedudukan, pendek kata lebih dari orang. Contoh kau akan senang je nak kongsi ceramah pasal jaga ibu bapa bila mereka sudah tua. Gunakan Facebook dan Whatsapp yang ada ahli keluarga dalam tu. Bila kau teliti yang empunya beri nasihat, seminggu sekali nak tengok dia telefon mak atau ayah dia pun tak ada. Apatah lagi kalau nak jenguk sekali sekala di hujung minggu walaupun rumah cukup dekat. Akhirnya, mak yang telefon sebab rindu suara anak. Rindu nak ada orang teman makan.”

Jaja kalau serius dia boleh bina kapal terbang. Itu yang terdetik di hati Fai. Projek tahun dua mereka di Jerman sudah buktikan betapa serius Jaja. Memang sunguh Jaja buat drone yang lebih mudah diterbangkan dan mempunyai kualiti video yang lebih baik. Siap boleh mengesan pergerakkan dan haba. Mungkin Fai mengesan haba keikhlasan dalam pemerhatiannya terhadap masyarakat.

“Bagi akulah Jaja, itu lebih baik, berkongsi-kongsi pesan macam tu.” Fai cuba membela hal, walaupun tidak tahu Fai memaksudkan siapa.

“Aku nak minta kau bayangkan. Memang aku setuju pesan kebaikkan itu bagus. Tapi cuba bayangkan kalau nasihat itu dapat pada adik-beradik yang betul-betul jaga mak ayah. Bukankah itu bikin panas. Di mata orang lain orang akan nampak betapa tulus suci yang kongsi ceramah Ustaz pasal jaga ibu bapa. Mujur adik yang jaga mak ayah tu jenis pendiam tak bising-bising. Kalau dibuka pekung, boleh malu sekampung.”

Fai diam. Cuba menyelami. Memang ada rasa panas dalam dada. “Apa yang lebih baik? Kalau berpesan nasihat pun macam tak kena pada kau.”

“Dalam Quran dah pesan, kita patut buat apa yang kita cakap. Mungkin tafsiran aku tidak ikut konteks, tapi aku rasa tindakan ini yang paling tepat. Nilai yang kau nak sampaikan melalui lidah kau, mesti sejalan dengan tindakan fizikal kau.” Jaja tidak minta izin bangun. Dia terus bergerak ke sinki untuk membasuh tangan.

Fai juga bangun menuju ke kaunter berdekatan pintu hadapan kedai. Makan tengahari dibayarkan semua. Fai tidak kembali ke meja. Dari jauh dilihatnya Jaja tercari-cari. Fai mengangkat tangan untuk dapat dilihat Jaja.

Danke schon. Untung makan dengan kau ni, pemurah.” Jaja berbahasa yang tidak perlu. Itu sudah amalan mereka, bergilir bayar.

“Aku tak pernah nampak sendiri depan mata contoh yang kau bagi. Tapi kalau nampak pun mungkin tak dapat nak rasa. Kita hidup di zaman serba serbi cepat. Tambah lagi ramai pentingkan diri berbanding ibu bapa. Bila dewasa serba boleh kita nak putuskan tali pusat dari orang tua. Terutama bila sudah berkerjaya. Bila duit ibu bapa tidak lagi diperlukan sebab kau sudah boleh berdikari sendiri.” Fai menambah ketika bergerak menuju ke kereta.

“Tapi bila ada hal menyangkut harta, kau akan lihat mereka ini akan berbaik-baik dengan ibu bapa. Atau dalam keadaan terdesak, ibu bapa akan jadi bank tanpa interest. Yang tak akan dituntut untuk dipulangkan setiap bulan. Selalu buat-buat lupa.”

Fai sudah tidak ada benda untuk menyampuk. Contoh Jaja berat difikirannya. Nasihat itu sebenarnya masuk dalam dada. Fai menimbang semula layanannya kepada ibu bapa sendiri. Terus teringat ceramah Ustaz Nouman Ali Khan. Ibu bapa meninggalkan semuanya untuk menghidupkan anak-anak. Lebih dari itu menghidupkan cita-cita dan impian anak-anak sehingga menguburkan cita-cita dan perancangan mereka sendiri. Sebelum lahir mereka telah mengimpikan sesuatu, tetapi selepas lahir anak, impian itu semua dileburkan. Anak-anak itu telah menjadi nombor satu mereka. Seluruh kasih sayang tertumpah pada mereka. Mereka mengingat setiap satu yang berlaku ketika bayi, termasuk menyalin lampin dan membasuh berak kencing. Walaupun anak itu sudah besar dan berumur 60 tahun sekalipun. Mereka masih ingat. Walau anak itu tidak pernah akan ingat ingat.

“Kenapa Tuhan menghilangkan memori kita ketika kita kecil? Contoh memori setiap perbuatan baik yang ibu bapa buat untuk anak-anak? Aku rasa kalau kita ada memori mesti mudah untuk setiap anak ingat jasa.” Fai bertanya Jaja yang sudah pun duduk di kerusi penumpang.

“Aku rasa supaya kau balas jasa itu sepenuh kesedaran kau. Seikhlas hati. Tuhan mahu kau berfikir sendiri. Bila kau ambil masa berfikir, memori itu akan datang. Kau akan kecil semula, dan kau akan lihat senyum mak kau yang masih muda dan bertenaga, menyuapkan nasi ke mulut kecil kau dengan senyum ikhlas sepanjang masa.”

Fai merasakan pada masa hadapan Jaja boleh mencipta alat yang boleh mengesan keikhlasan. Kereta itu bising dengan bunyi enjin yang cuba dihidupkan. Kepala Fai sarat dengan macam-macam fikiran. Seperti mahu menangis pun ada. Tetapi Jaja ada di sebelah, ditahankan. Tiba-tiba memori ibu yang selalu memimpinnya ke masjid datang bertalu-talu seperti tayangan filem yang dicepatkan.

Fai meletakkan gear ke kotak D. Fai memandang Jaja, “kau tahu tak, kentut kau hari ni bau blume.

“Harap kau tak ketagih.”

Mereka ketawa seperti orang gila. 

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang