Ceritakan Kebaikkan 3

"Aku berikan kau a fair solution, yang mungkin kau boleh fikir-fikirkan. Nak buat tak, terpulang."

Memang dia ada temper, tapi dia juga kental menyampaikan kebaikkan secara beransur-ansur. Bukan senang perkara yang baik-baik ini, di dalam dunia yang lebih nampak jahat dan keji itu lebih cool dan hipster.

"Berhenti untuk cakap kebaikkan..."

"Pulak." Aku memotong.

Dia jengil mata sambil menyambung, "berhenti cakap kebaikkan diri sendiri kalau kau rasa tak senang. Atau kau rasa pahala kau berkurang. Tapi, kau boleh ganti dengan bercakap tentang kebaikkan orang lain. Kawan yang sedang membuat sesuatu demi keluarga dia, contoh, yang jaga mak ayah yang uzur. Yang setiap minggu membantu untuk mencukupkan bekalan dapur dengan membeli ikan, ayam, daging dan letakkan di dalam peti ais. Atau kawan yang terlibat dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan kebajikan. Kawan yang terlibat dalam usaha kemanusiaan antarabangsa. Promosi kegiatan kawan-kawan yang mengumpul derma untuk negara-negara terlibat perang dan krisis kemanusiaan. Promosi kegiatan kawan yang mencari anak-anak yang kesempitan wang untuk bersekolah, kemudian mencari penyumbang sebagai ibu bapa angkat. Tolong buat aktiviti kitar semula, dan beritahu rakan-rakan."

Panjang penjelasan macam tiada noktah.

"Atau bila sembang, elakkan gossip tapi banyakkan cerita pasal orang lain tapi menyangkut kebaikkan dia orang. Contoh, betapa manis senyum A bila bertembung dengan orang lain, macamana B ringan tulang untuk membantu kerja-kerja tak kira B sibuk macamana sekalipun, macamana C dengan kesabaran dia mendengar, dapat meminjamkan telinga dan masa mendengar luahan perasaan, bagaimana D sangat prihatin terhadap keselamatan sanggup memberhentikan kereta dan mengalihkan batu/kayu besar atas jalanraya, bagaimana E buat kelas hujung minggu percuma untuk mengajar tuisyen anak-anak taman perumahan yang tidak ada wang untuk hantar ke kelas berbayar. Pendek kata, banyak cerita kebaikkan kalau kau buka mata untuk melihat."

Aku senyum, mudah-mudahan dapat pahala. Walau senyum aku kelat di mata dia.

"Kali ini, cerita kebaikkan kau tidak akan memudarkan pahala yang kau akan kutip, malah akan bertambah-tambah lagi."

Hari Jumaat. Moga ada keberkatan dalam hari. Moga ada keberkatan dalam dia, yang aku selalu cemburu buah fikiran dan usaha yang tidak pernah henti.

"Apa lagi, belanjalah aku minum. Kering dah air liur ni," tangannya di leher dan lidah dijelirkan keluar.

Demi kawan yang ini, sejuta kali pun sanggup aku belanja air kosong.


Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah