AC yang Mencari

Adik Comel (AC) sebelum ini pernah bermusafir bersama saya. Berdua, dalam kereta untuk jarak perjalanan selama 2 jam. Saya suka perjalanan seperti ini kerana dengan ruang terhad kita akan belajar menghargai siapa yang berada di sebelah.  Ruang terhad juga akan menyebabkan kita tergerak berkomunikasi. Bercakap itu penting, kerana kita dijadikan oleh Tuhan sebagai makhluk yang boleh berkata-kata. Separuh orang cakap, haiwan yang boleh bercakap-cakap.

Dilema AC ni dah lama. Rupanya dia mempunyai tabiat yang suka bertanya. Pemikirannya menjangkaui dan selalu mempunyai bayangan yang real dalam kepalanya. Kata AC akibat perangainya itu, dia selalu kena warning. “Jangan banyak-banyak sangat tanya. Kalau banyak tanya boleh murtad tau.”

Itu yang AC cakap pada saya. Dan dia mendapat ancaman itu banyak kali. Sejak dari kecil. Kata AC yang kasihan ni, “kadang-kadang Kak saya sendiri rasa adakah saya ni dah murtad. Sebab banyak kali orang cakap macam tu.”

Kalau awak menghadapi situasi seperti ini, bagaimana kita mahu bereaksi? Ini adalah generasi sekarang. Mereka sudah tidak mahu terima bulat-bulat dan buta-buta. Mereka ada banyak soalan untuk memuaskan hati mereka. Jelas, mereka tidak mahu iman yang buta, mereka mahu iman yang bercahaya.

Saya kita jika saya berpeluang mempunyai zuriat, mereka juga akan mempunyai sifat ingin tahu seperti ini. Sebab dunia sudah berubah secara drastic. Kalau saya tidak ada di sisi anak-anak, mereka ada seribu satu cara lain untuk tahu. Terutama dari sumber internet, Google lah apa lagi.

Luar dari jangkaan AC, saya memujinya kerana ada sifat ingin tahu. Ia satu sifat yang sangat baik. “Kerana awak selalu bertanya, awak akan mencari. Hanya itu sahaja jalan untuk awak melegakan perasaan ingin tahu dalam diri.”

Saya mengajar AC beberapa perkara.

1. Menghargai akal yang Tuhan berikan untuknya. Akal yang bertanya itu, perlu cari jawapan.
2. Sentiasa membaca, dan bacaan yang paling sempurna ialah Al Quran. Jawapan yang dia mahu itu boleh jadi sangat dekat jawapannya, dalam Al Quran.
3. Bahawa setiap manusia mempunyai kuasa yang paling kuat. Iaitu free will. Kebebasan memilih. Kalau AC mahu jadi baik, AC boleh jadi baik. Dan sebaliknya.

Saya membimbing dengan apa yang saya tahu. Mencadangkan kepada AC beberapa buah buku. Juga YouTube yang baik untuk AC jadikan panduan.

Saya juga seperti AC. Banyak soalan. Tapi saya tidak seberani AC untuk bertanya out loud. Saya bertanya dan bergema dalam hati. Kalau ada orang tahu apa yang saya tanya, adakah saya akan mendapat ancaman yang sama seperti yang AC selalu dengar? Saya tidak tahu.

Tetapi sekarang saya menyedari peranan. Oleh kerana saya sudah diberi kesempatan membaca beberapa bacaan yang baik, saya boleh berkongsi.

Percaya tidak, kesempatan-kesempatan sedikit yang ada dengan AC selalu menyebabkan kami mengalirkan air mata. Sebab kami berbicara dengan hati. Saya merasai kesusahan AC.

AC adalah anak bijak yang tidak menjumpai pembimbing yang boleh memuaskan setiap persoalan yang ada dalam dada dan otaknya. Jelas sekali AC adalah anak yang genius, yang mahu mencari iman yang diterangi cahaya.

Saya suka bercakap dengan AC. Setiap kali saya bercakap dengannya, saya perlu mengeluarkan Al Quran. Membacakannya tafsir-tafsir. Selalu juga mengeluarkan buku-buku. Membacakan tentang salah faham kita terhadap ilmu yang membuta tuli yang kita terima dari nenek moyang.

AC hairan dengan saya. Semua orang marah dia bertanya, sebaliknya saya menggalakkan AC untuk terus bertanya. Kata saya pada AC, “kalau awak tak tanya, awak takkan mencari.”

Benda yang AC tak tahu, saya menjalani pencarian yang panjang dalam hidup. Dalam laluan jalan itu, Tuhan menjumpai saya. Saya percaya, kalau kita selalu bersih fikiran untuk cari kebenaran dan jalan yang lurus, walau kisah kita terpalit dosa dan noda yang banyak sekalipun, Tuhan tetap akan mahu menjumpai diri kita. Dengan syarat kita ikhlas, dan tiba masanya kita akan sanggup berserah.

Mungkin akan datang AC bertanya, “apa makna iman pada diri akak? Apa perlunya saya beragama sedangkan saya juga boleh buat baik tanpa agama?”

Atau mungkin paling ekstrem


“Tunjukkan saya jalan yang lurus itu.” Harapnya, pada waktu itu, saya dapat memberikan jawapan yang baik.

Tetapi sampai saat ini, siapa yang punya jawapan untuk saya berikan pada AC?

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang