Timing

Selalu kita berada dalam keadaan tergesa-gesa, mahukan sesuatu berjalan seperti apa yang muncul dalam fikiran. Tentang kehidupan sempurna seperti mana orang lain, seperti majoriti di kalangan kita. Tanpa kita sedari bahawa dunia ini terbina dengan kadar. Bahasa lainnya measure, makna lain perkiraan?
 
Perkiraan itu, kadar itu boleh jadi dari pelbagai segi. Jumlah, bilangan, tempoh (duration), masa. Dengan maksud lain segala itu mencerminkan satu, ada had. Kita berada dalam ruang yang punya sempadan dan punya titik akhirnya.
 
Memahami ini, saya terdetik tentang satu perkara. Iaitu timing, bahasa Melayu mungkin tepat pada masa.
 
Setahun ini perjalanan hidup saya sangat dinamik dan diwarnai oleh orang-orang muda yang begitu hebat sekali cara pemikiran dan usaha mereka. Mereka menolak untuk terus berada dalam acuan yang sama sepertimana yang pernah mereka dengar dari abang-abang dan kakak-kakak. Sebagai contoh, dalam memahami sesuatu mereka tidak hanya mahu mendengar dari dewan kuliah, sebaliknya mereka terus terjun ke masyarakat untuk memerhati realiti sebenar dan apa yang boleh mereka lakukan.
 
Hakikat yang saya tidak pernah sembunyikan dan sering saya ceritakan pada rakan-rakan, betapa saya malu kerana bermula lambat. Berbanding orang-orang muda masa hadapan ini.
 
Ada satu perkara yang mengkagumkan saya, apabila mereka mula bertanya hal-hal di luar silibus. Tentang ekonomi semasa, tentang scenario politik dunia, tentang masa depan kita di mana? Apabila merenung usia mereka yang begitu muda, saya rasakan bahawa timing belum sesuai. Kemungkinan besar mereka sukar memahami penerangan yang cuba disampaikan. Tetapi hakikat yang saya tahu juga, bila mereka bertanya maka masanya telah sampai, dan saya cuma perlu menjadi pemudah cara kepada apa yang mereka tanyakan. Meski ilmu saya juga berkadaran.
 
Dalam banyak kesempatan, saya selalu mahu berkongsi dan menerangkan apa yang saya tahu sebagai ilmu dan pengetahuan. Kecuali bila masa terbatas, saya akan mencadangkan buku-buku yang sesuai untuk dibaca.
 
Saya juga pernah banyak kali mengalami peristiwa bila saya minta untuk sesuatu ilmu itu dikongsikan, tetapi ditolak oleh guru untuk menerangkan. Saya tidak pasti kenapa, sehinggalah saya faham bahawa ilmu itu juga ada timing. Ada berat dan tanggungjawab selepas menerimanya. Malah ada timing juga untuk ia sampai dan untuk faham.

Seperti muzik, setiap nota itu ada tempoh, dan untuk nota yang lain menyusul, perlu menurut tempo seperti dalam gubahan. Hanya dengan itu lagu akan menjadi begitu sedap untuk dinikmati.

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah