Stop it!

Seorang rakan muda memberitahu, "berhenti meletakkan iman anda di tangan orang lain." Katanya, dia mahu bertanggungjawab dengan iman yang dia yakini, bukan dipaksakan.

Ramai orang akan menganggap seolah-olah itu percakapan orang yang angkuh, tetapi untuk saya, ia adalah percaya diri dan percakapan orang sedar. Sedar fitrah dirinya, yang diciptakan dengan kebebasan memilih. Dan dengan kuasa sebesar itu apa sahaja yang berlaku, dia tidak akan menyalahkan orang lain tetapi dirinya sendiri.

Sejenak cuba kita fikirkan, benar tidak percakapan seperti ini?

Bila kita cukup dewasa, akhirnya kita juga akan menyakini benda yang sama. Bahawa iman itu apa yang kita yakini dalam hati, bukan yang dipaksakan. Soalnya cepat atau lambat.

Katalah kita bakal menjadi seorang ibu atau bapa. Dan tugas kita menjaga mereka hanyalah setakat usia 8 tahun. Kemudian dari itu kita meninggal, harta apa yang kita mahu tinggalkan untuk dia?

Saya akan membekalkan anak saya dengan dua benda:
1. Kemahiran membaca
2. Kesedaran diri bahawa dia makhluk yang mempunyai free will, dan kerana itu dia perlu bertanggungjawab atas pilihan-pilihannya.

Masa bayi kecil ketika sedang membesar, ibu bapa, pakcik makcik selalu memanjakan kita. Kadang-kadang saya fikir terlalu berlebih-lebihan sehingga memberi salah faham kepada bayi tersebut. Contoh, ketika anak kecil 8 bulan cuba berlajar untuk bertatih, kemudian dia terjatuh dengan agak kuat. Anak itu mula menangis kita akan datang dan memujuk. Bagaimana cara kita pujuk mereka? Kita akan katakan, "kesian dia, siapa yang buat adik? Lantai ya, meh mama babab lantai ni." Kemudian kita lakukan gerakan memukul atas lantai, anak jadi diam kerana dipujuk.

Salah kita di sini ialah mengajar anak meletakkan kesalahan dan kesilapan di tempat lain. Bukan pada si pelaku salah atau kecuaian, iaitu anak itu sendiri. Semakin besar, dia dibiasakan untuk menyalahkan orang lain pada kesalahan yang dia sendiri lakukan. Sehingga dalam satu tahap dia tidak rasa bersalah untuk melakukannya berulang-ulang kali kerana bisa sahaja salah itu dipindahkan kepada orang lain. Jika dia tidak mempunyai tempat untuk meletakkan salah itu, dia boleh sahaja menyalahkan persekitaran, latar belakang sejarah hidupnya, salahkan ibu bapa guru, menyalahkan bisikan iblis dan permainan dajal, menyalahkan pembuat polisi, salahkan Amerika dan Israel, salahkan semua kecuali dirinya sendiri.

Jangan salah faham. Saya bukan kata elemen-elemen jahat dalam dunia tidak mempunyai peranan. Mereka tetap memainkan peranan mereka, sebagai contoh syaitan yang ada untuk memperdaya. Syaitan hadir dalam bentuk bisikan, tetapi manusia ada segenap kekuatan untuk menolak ajakan, bahkan menolaknya dengan lemparan batu!

Hakikat fitrahnya kita adalah makhluk freewill. Suka atau tidak, itulah kita. Bahkan dalam surah Al Baqarah ketika kisah Adam dibacakan tentang Adam dan Hawa serta pohon larangan. Kesalahan itu dilakukan oleh Adam dan Hawa sendiri, meskipun diakui ada hasutan dari Syaitan, tetapi pilihan akhir itu tetap ditangan Adam dan Hawa.

Berbalik dengan senario yang saya usulkan tadi, jika kita ada anak dan kita mampu mendidik dia sehingga 8 tahun, apakah bekal yang terbaik untuk kita tinggalkan untuk mereka?

Tiada ibu bapa yang tidak sayangkan anak. Bahkan seluruh kehidupan ibu bapa mungkin berlangsung untuk membesarkan anak-anak, kebaikkan untuk masa depan mereka, kesenangan dan seluruh kebahagiaan yang kita boleh sediakan untuk mereka.

Tetapi kita sering lupa. Anak-anak ini tetap akan membesar dan melalui fasa-fasa kedewasaan. Kita bukan Tuhan yang boleh menjamin akan sentiasa ada untuk mereka, melindungi, memberi semangat, menunjukkan jalan, memberi pesan dan nasihat. Kita tidak mungkin selalu ada.

Dan kerana kita juga sudahbmelalui segala proses ini, secara logiknya kita akan bertanya, apa sebenarnya bekal yang baik untuk meniti kedewasaan? Bila masa dewasa itu muncul? 18 tahun, 28 tahun, atau 68 tahun?

Atau soalan yang lebih baik dari itu, apa makna kedewasaan?

Dewasa bermakna, seorang manusia itu sedar bahawa dia hidup dalam dunia dengan pilihan-pilihan. Pilihan yang ada tidak datang bergolek dan digunakan untuk memenuhkan kehendak semata. Pilihan itu datang dengan tanggungjawab dan akan dipertanggungjawabkan.

Semasa saya melawat Khalifah Model School, anak-anak kecil seawal di tadika dan darjah 1 diperkenalkan dengan konsep ini. Katalah ada anak murid yang secara sengaja membuka dan menutup pintu dengan kuat, dia akan dipanggil guru dan ditanya. Apakah yang dia buat itu betul atau salah? Dia juga akan diminta untuk menjelaskan kenapa berbuat demikian. Dia juga akan ditanya, adakah dia mempunyai pilihan untuk membuat selain dari menutup pintu dan membukanya dengan kuat.

Kita akan segera hairan, kerana anak-anak ini menjawab dengan sepenuh sedar, yang mereka mempunyai freewill untuk berbuat sesuatu. Apabila tersedar, anak ini sendiri akan meminta maaf dengan rela, merelakan hukuman kepada dirinya atas kesalahan yang dilakukan, dan tidak kisah untuk membetulkan kesalahan yang telah mereka buat. Malah mereka sanggup untuk berdiri kembali di hadapan muka pintu, untuk menutupnya dengan keadaan paling baik dan tidak mengganggu orang lain belajar.

Ajari saya bahawa saya bertanggungjawab dengan pilihan yang saya buat. Ajari saya untuk dapat membaca dengan benar dan dengan membaca itu dapat menunjukkan saya jalan kepada kebenaran.

Andai kata ibu dan ayah tidak cukup lama hidup dalam dunia untuk membesarkan saya, saya akan memilih untuk terus membaca supaya perjalanan saya terus terpandu dalam arah yang diredhai Tuhan. Bekalkan saya yang itu ibu dan ayah, kerana jika saya mempunyai keduanya, segala cabaran dalam hidup ini saya akan hadapi inshaa Allah dengan iman yang tidak goyah!

Berhenti untuk memeriksa iman kita di tangan orang lain, mula bertanya diri sendiri sekarang, take full control of it, take action. Kerana kita ditanya dengan apa yang ada pada diri kita, bukan apa yang dibisikkan oleh orang lain.

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang