Budaya dan Kebenaran (agama) - 2

Masih lagi saya merujuk kepada Dr Jeffrey Lang. (minta maaf minggu ni minggu Dr Jeffrey Lang agaknya. This man inspired me in many ways than I can imagine.)

Persoalan saya di atas sebenarnya diambil dari YouTube yang saya cuba tekuni seminggu dua ini. Dalam satu aspek kita melihat Dr Jeff begitu tenang orangnya, kelakar, sangat intelek, bersemangat dan cintakan agama, tetapi dalam satu aspek kita melihat juga kekecewaannya kerana ramai orang Islam tidak bersikap seperti semestinya orang Islam bersikap. Ini memberikan cabaran kepada Dr Jeff yang bukan sedikit. Kata Dr Jeff (lebih kurang), "saya mesti memberitahu isu-isu ini kepada masyarakat muslim, kerana saya sudah 20 tahun berada dalam agama ini tetapi saya tidak pernah mendengar mana-mana scholars bercakap secara serius tentangnya. Ini meninggalkan saya dalam keadaan tanpa pilihan, saya mengambilnya sebagai tanggungjawab untuk bercakap. Keluhan-keluhan ini memang ada dalam masyarakat, dan bagaimana kita mahu bertindak untuk berkomunikasi mengenai masalah seputar double standard ini." 

Bila Dr Jeff cakap begitu, saya menjadi begitu sayu. Sekiranya Dr Jeff dipanggil Tuhan, siapa yang akan menyambung tugas Dr Jeff untuk menyeru orang Islam untuk kembali kepada tujuan azali agama, iaitu untuk manusia kembali kenal dirinya sebagai hamba dan melihat Tuhan, Satu-satunya Yang Layak Disembah. Kemudian merasa indah setiap satu seruan agama, merasa damai berada dalamnya, dan setiap hari jatuh cinta kerana besarnya Cinta Tuhan kepada makhluk-maklukNya.

Apa yang saya mahu lihat ialah, agama kembali kepada tujuan asalnya, tempat manusia menemui kebenaran, keindahan dan cinta. Tidak dicacatkan dengan amalan budaya, ditempelkan seolah-olah inilah agama. Meletakkan benda yang tidak perlu, sehingga menjauhkan mereka yang benar-benar mencari dan mahu kembali.

Kata Dr Jeff, siapa yang menjauhkan mereka dari mengenal agama Tuhan yang suci ini? Siapa? Siapa? Jika kita tidak dapat mencerminkan yang essence, tangan kita sendirilah yang menjauhkan mereka.

Agama itu adalah melihat manusia dengan potensi yang sama, kata Tuhan dalam Al Quran sebagai khalifah. Kita bernasib baik kerana mempunyai Dr Jeff yang menunjukkan kita jalan faham agama dalam sudut rasional dari kaca mata dulunya seorang atheist. Dengan maksud, agama itu sangat rasional dan logik untuk semua manusia. Wacana yang begitu intelek, sehingga boleh merobohkan keraguan orang-orang yang masih menyombong diri. (siapa ada maklumat di mana saya boleh membeli buku-buku Dr Jeff beritahu eh?)

Persoalannya agama ini sudah tidak menjadi begitu setempat dan lokal. Agama ini sudah sampai di kalangan masyarakat Amerika yang begitu terbuka, rasional dan mahu pendekatan logik. Sudah sampai dari Timur ke Barat. Sudah sampai dari Utara dan Selatan. Masyarakat Amerika tidak akan bertanya masalah-masalah hukum yang kadang-kadang meleret kepada perdebatan antara Ustaz-ustaz, (sehingga menuntut melakukan mubahalah segala bagai). Masyarakat Amerika akan bertanya mengenai soal keadilan, dikriminasi, soal keberdayaan umat, mengenai bagaimana agama boleh membawa peranan yang progresif dan dinamik bukan statik di tempatnya, mengenai wanita, semua persoalan yang akan disoal secara terus terang tanpa berlapik bahasa. Sudah menjadi begitu global sedangkan kita masih selesa berada di tempat yang sama dan berharapkan syurga! 

Sekiranya kita berada di tempat Dr Jeff, dapatkah kita mempertahankan jalan kebenaran ini?

Tempat Dr Jeff mungkin lebih mencabar. Beliau mendapat keluhan dari orang yang baru menerima kebenaran agama dengan keluhan yang kadang-kadang meruntun jiwa kita mendengar. "Ada dua orang yang mendengar kebaikkan agama ini, anak beranak. Ibu dan anak perempuannya. Mereka dengan besar hati mahu lebih tahu mengenainya. Mereka pergi ke tempat (mungkin masjid atau Islamic center). Tiba di pintu, pintu terbuka yang dibuka oleh lelaki muslim. Kemudian pintu itu ditutup di hadapan muka mereka." Dr Jeff bercerita, malangnya tindakan itu sebenarnya dibanggakan. Malah diceritakan dengan bangga kepada kawan-kawan sepejabat.

Satu perkara yang menghairankan Dr Jeff apabila sambutan yang begitu meriah ketika awal-awal beliau masuk Islam dahulu. Sehinggakan beliau merasakan peristiwa itu seolah-olah Malaikat turun dari langit. Maklumlah Dr Jeff berkulit putih, berambut blonde, bermata biru, anglo-saxon, seorang profesor dan sebagainya yang membuatkan orang berbangga. Kemudian Dr Jeff berkata, "kalau sekiranya saya berkulit hitam bagaimana?" Adakah layanan yang diterima juga sama?

Saya merasakan double-standard ini ketika berada di Makkah. Ketika kami menunggu untuk bergerak kembali ke Makkah (dari Arafah), kami dimasukkan dalam tempat berjeriji besi. Seolah-olahnya kami ini kambing yang sedang digembala oleh Pak Arab. Bahasa yang kami terima ialah bahasa herdik walaupun jemaah Malaysia terkenal berdisiplin dan lemah lembut. Ini bukan membuka pekung, tetapi cerminan realiti untuk mengajak manusia berubah. Kami di mata Pak Arab ialah ajam (iaitu non-Arab) yang tiada kemuliaan dari segi letak duduk bangsa. Kerana itu tidak ada masalah untuk melayan seperti kambing pun.

Ya sedikit sedih, bukan, sebenarnya banyak sedih. Saya melihat Pak Arab muda yang menguruskan kami itu memang handsome (oppsss), tidak dinafikan. Tetapi saya tidak pasti sekiranya Rasulullah bersama kami, Baginda akan membenarkan layanan seperti itu. 

Apa yang saya tahu, melalui pembacaan dari Al Quran kita hanya dinilai dengan penilaian takwa. Tidak kiralah kulit kita putih atau hitam, wanita atau lelaki, Arab ataupun Melayu, Amerika, Eropah, Timur, Jawa, Minang, Bugis, Mindanao, Patani, sekian banyak bangsa dalam dunia semuanya sama. Yang akan dinilai adalah level takwa yang ada dalam jiwa kita. 

Ramai orang berkecil hati dengan double standard, standard ketiga, atau standard keempat orang yang memegang autoriti agama. Kerana mereka menyangkakan kebenaran total itu ada di tangan mereka. Ada orang kata tidak perlu beremosi dengan politik terasa. Sedangkan Dr Jeff seorang bangsa Amerika yang terkenal terbuka dan tidak melayan hal-hal terasa merasa penting persepsi dilayan dengan layanan tidak serupa. Kenapa kita sebagai bangsa Timur yang begitu halus budi bahasanya ingin buang ke laut pula.

Saya selalu merasa jalan yang saya yakini adalah jalan kedamaian, ketenangan, keadilan, keindahan, kasih sayang, belas ihsan, pengorbanan, kemanusiaan dan cinta kasih. Jalan yang membawa bahagia walau seribu macam ujian pun yang datang. Tetapi orang-orang yang menyakini perkara yang sama seperti saya, tidak semua berfikir seperti itu. Mereka merasakan jalan itu adalah hukuman dan memandang rendah orang.

Budaya adalah budaya. Budaya yang baik tetap baik tetapi tidak boleh dipaksakan selagi ia bukan mutlak suruhan agama. Agama adalah kebenaran. Kebenarannya bersifat hakiki. Kerana itu baginda Rasulullah menongkah segala budaya yang telah berakar umbi dalam masyarakat Arab, yang mendarah daging, yang sebati, walaupun terpaksa berkorban keringat dan nyawa. It is a fight worth to die for. 




Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang