Budaya dan Kebenaran (agama) - 1

Rakan baik saya pernah memberi nasihat, "sekiranya awak mahu mengenali orang (di tempat orang lain), kenalilah budaya mereka dan jadilah seperti mereka. Sekiranya awak mahu memperkenalkan diri awak kepada orang lain, jadilah diri awak sendiri bukan orang lain."

Ada masalah dalam perkara ini sebenarnya. Yang pertama adalah penerimaan kita terhadap budaya semata-mata kita mahu fit in dalam dunia mereka. Tetapi benda ini adalah sangat penting, terutama untuk memulakan perkenalan dan perbualan. Terutama jika kita adalah orang asing yang merantau dan berada di tempat orang. Masalah yang timbul ialah apabila budaya setempat yang tidak ada kaitan dengan tuntutan agama, menjadi seolah-olah perkara wajib dalam agama.

Sebagai contoh tentang penggunaan masjid seolah-olah dikhususkan kepada lelaki sahaja. Ada negara malah tidak membenarkan wanita untuk bersolat pada lantai yang sama dengan lelaki. Mereka diminta untuk berada di tingkat lain sekiranya mahu melakukan solat berjemaah. Di Malaysia pula, ada satu amalan yang tidak membenarkan wanita bersolat Jumaat. Akibat dari larangan ini, wanita Malaysia akan pergi bershopping di hari Jumaat waktu rehat panjang di sebelah tengahari.

Ini menimbulkan sedikit kekeliruan apabila ada pelajar dari Iraq yang datang ke Malaysia. Sudah menjadi kelaziman mereka solat Jumaat, dan untuk diri mereka jika tidak solat rasa begitu berdosa. Saya membayangkan mereka berkeras juga untuk masjid dan bersolat, apakah yang akan berlaku antara mereka dan pihak berkuasa masjid?

Saya jadi terfikir, amalan-amalan ini adakah benar suruhan wajib pada agama atau bentuk budaya yang telah kita warisi sejak zaman ibu ayah nenek moyang dahulu kala.

Baik, macam sedikit berbunyi ekstrim, tetapi sebenarnya adalah ujaan dalam pemikiran. Saya bawakan ini sebagai orang yang sudah kembali dari Makkah, dan melihat bagaimana solat dilakukan ke sana. Sekiranya kita menganggap ajaran sentral agama itu berasal dari bumi Makkah, kenapa keadaan yang sama tidak dilakukan di tempat-tempat lain.

Contoh: orang lelaki dan wanita bersolat di lantai yang sama di Makkah dan Madinah. Orang lelaki dan wanita juga boleh solat Jumaat di hari Jumaat di Makkah dan Madinah. Tetapi tidak berlaku sekurang-kurangnya di Malaysia (sudah lama hidup di Malaysia). 

Apa yang akan berlaku terhadap dua amalan yang dilihat tidak sejalan ini? Di satu tempat yang lain boleh, di satu tempat yang lain tidak boleh? Dan apabila kita meminta penjelasan kukuh mengenai hal ini, barangkali tidak ramai dapat memberikan hujah dari sumber utama yang diterima seluruh umat Islam iaitu dari Al Quran dan tradition (hadith).

Soalnya kecil. Saya kira, kalau saya tanyakan mak dan pakcik makcik tentang perkara ini mereka akan jawab mudah. "Tidak perlulah buat benda yang pelik-pelik yang tidak pernah orang buat. Dari dulu lagi sudah kita amalkan perkara seperti ini." Full stop.

Tapi old habit die hard. Dalam kepala saya akan ada banyak soalan pula selepas itu. Boleh ke kita anggap semuanya selesai just because benda ni dah jadi amalan dalam masyarakat? Atau lebih baik untuk saya mencari kebenaran sesuai dengan fitrah diri saya ini yang selalu mahu tahu?

Kiranya di waktu awal seruan Rasulullah kepada masyarakat, Rasulullah telah menyongsang perkara lazim yang sudah berakar umbi dalam masyarakat. Contoh, masyarakat pre-Islam menyembah idol, tetapi seruan Nabi adalah untuk menyembah The Only One God, Allah. Waktu itu hamba berkulit hitam gelap seperti Bilal tidak mempunyai martabat, tetapi Rasulullah menongkah budaya mengangkat Bilal menjadi orang kepercayaan. Seorang yang mempunyai peranan penting dan sentral dalam agama, iaitu yang memanggil manusia lain ke masjid untuk menunaikan ibadah solat berjemaah. Sewaktu orang Arab bangga dengan kesukuan, kemuliaan tribe dan berpuak-puak, Rasulullah mengangkat Salman dari Parsi dan Miqdad dari Rome menjadi penasihat dalam hal ehwal peperangan dan pentadbiran. Sewaktu orang Arab galak menanam anak-anak perempuan mereka, Rasulullah dilihat mencium wajah Siti Fatimah dan menempatkan Siti Fatimah di kedudukan yang sangat mulia. 

Semua ini adalah perkara menongkah budaya, yang Rasulullah perjuangkan juga walau mendapat tentangan dan halangan yang bukan sedikit. Ada tradition yang selalu kita diperingatkan, bahawa Rasulullah menegur seorang Arab yang mempunyai ramai anak tetapi tidak seorang pun dari anak itu pernah diciumnya. Kerana sudah tentu ia bukan budaya orang Arab yang menunjukkan kasih sayang seperti itu. Juga bukan budaya orang Arab untuk memuliakan perempuan, apatah lagi anak perempuan seperti mana yang Rasulullah tunjukkan.

Tapi akan ada orang komen kepada saya, "apa yang kau nak bising-bisingkan, dan tentu baginda adalah Rasulullah, mestilah senang untuk Baginda menetapkan semua itu kerana hukum dan kebenaran itu ditangan baginda. Kita ini siapa?"

Baik katalah, tidak perlu katalah saya betul-betul bersetuju dengan penyataan itu. "Rasulullah adalah penetap hukum, kerana semua hukum yang diturunkan kepada Rasulullah adalah dari Allah sendiri." Tapi di masyarakat kita juga adalah masyarakat yang menyeru untuk selalu ambil berat dengan sunnah, dan jika benar kita mencintai, maka kita akan ikut juga sunnah-sunnah ini walaupun payah. Namun yang terjadi dalam masyarakat ialah sunnah yang terpilih-pilih. Paling famous adalah sunnah berkahwin empat. Tidak syak lagi semua lelaki dan perempuan tahu mengenai hal ini, malah yang non-muslim pun tahu mengenai hal ini.

Tetapi sunnah seperti memandang setiap orang itu sama pada essensi kemuliaan mereka sebagai manusia, seperti cara Rasulullah memandang Bilal seorang bekas budak yang masih lagi hitam (mustahil pula boleh bertukar warna). Cara Rasulullah menghormati pandangan Salman, seorang non-Arab yang datang dari Farsi untuk masalah strategi ketenteraan, juga terhadap Miqdad. Cara Rasulullah memberi tanggungjawab kepada orang muda seperti Ali, yang tidur di katil sewaktu baginda berhijrah ke Madinah. Dan Fatimah, seorang perempuan malah anak perempuan yang disayangi, dikasihi, dihormati dan dimuliakan tidak pula kita bereya untuk contohi.

Apa yang kecoh-kecoh sangat, benda ini bukan sentral dan perlu didebatkan. 

Ya, itu kata kita, kecil pada pandangan kita yang sudah sebati dengan budaya dan amalan ini. Tetapi agak besar untuk mereka yang baru berjinak-jinak untuk mendekati kebenaran.

Katalah kita punya rakan sepejabat non-muslim yang mahu mendekati Islam. Mereka bertanyakan soalan-soalan seputar ini. Mengenai bagaimana orang Islam sejak dari lahir akan memandang mereka yang baru masuk dalam Islam. Bagaimana layanan terhadap wanita. Bagaimana layanan kepada mereka yang tidak berdarah Arab. Semua ini akan menjurus kepada persoalan adakah benar Islam itu membawa keadilan sejagat, atau hanya termaktub dalam kitab tanpa perlu dipraktikkan dalam masyarakat.

Ini soal mengada-adakan (bukan mengada-ngada), soal mengada-adakan sesuatu yang tidak mempunyai tapak kukuh dalam kebenaran agama. Pada kita nampak kecil, tetapi tidak bagi orang lain. Pada mulanya kita mempunyai potensi untuk mendapat saudara baru yang ramai, tetapi akhirnya mereka tidak jadi untuk terima kebenaran kerana realiti yang mereka lihat dengan mata tidak seperti apa yang ditulis cantik atas kertas.

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah