Wanita dan Perjuangan dari Perspektif Fatimah oleh Ali Shariati - 2


Itu sebenarnya persepsi dunia yang kita warisi.

Sebab itu tidak hairan jika ada kes rogol, masyarakat akan beri justifikasi, siapa suruh perempuan tu pakai seksi. Hakikat di tanah Arab yang perempuan berkelubung dalam kelambu pun mencatat rekod kes rogol yang tinggi. Salah siapa lagi? Tetap masyarakat akan salahkan perempuan, kata mereka, siapa suruh wanita keluar rumah.

Baik, kita berhenti dulu bicara soal sentimen.

Soalan seterusnya, ke mana revolusi yang dibawa oleh seorang Fatimah?

Di sinilah peranan besar Fatimah, iaitu untuk merungkai segala tradisi yang berakar umbi dalam masyarakat Arab tentang wanita.

Baik (berapa banyak baik daaa), saya perlu bercerita tentang Fatimah. Dia sebagai anak bongsu dan perempuan Nabi dan Siti Khadijah.

Ada satu lagi sudut historis yang dikupas oleh Ali Shariati yang saya kira menarik. Iaitu dari aspek politik tanah Arab. Sebelum Islam lagi, keluarga Nabi dipandang penuh minat oleh bangsa Quraisy. Ini adalah kerana hak custody (menjaga) Kaabah dan urusan Haji dijaga oleh Bani Hasyim. Ada puak yang sedang menunggu untuk mendapat hak penjagaan seterusnya, sekiranya Bani Hasyim tidak ada waris lelaki.

Di pihak bani Hasyim, dari keturunan Abdul Mutalib, ada anak-anak beliau iaitu:

·         Hamzah – seorang yang bertubuh atletik dan material perang
·         Abu Jahal – yang kurang dipercayai masyarakat
·         Abbas – kurang berkarakter
·         Muhammad – seorang Al Amin

Dalam senarai warisan Bani Hasyim, seluruh harapan bergantung kepada pasangan muda Nabi Muhammad dan Siti Khadijah. Setiap kali Siti Khadijah mengandung, akan ditunggu oleh penuh minat. Berikut adalah kelahiran yang lahir dari pasangan ini: Zaynab, Ummi Kalthum, Ruqayyah, Abdullah dan Qasim.

Tetapi dua anak lelaki Nabi ini meninggal ketika bayi. Siti Khadijah juga sudah meningkat umur. Kemudian mengandung lagi, dan lahirlah Fatimah.

Ketika lahir Fatimah, puak-puak Arab mula mengejek Nabi sebagai abtar (ditulis dalam surah Al Kautsar). Bermaksud buntung pewaris (terpotong pewaris). Kerana yang lahir itu seorang perempuan, seorang Fatimah.

Kenapa begitu?

Dalam mana-mana masyarakat sekalipun, keturunan garis warisan itu tidak bersambung dari anak perempuan. Semuanya dari waris anak lelaki. Malah tradisi Nabi-Nabi terdahulu juga begitu. Yang mewariskan keturunan mereka adalah dari anak mereka yang lelaki, bukan perempuan.

Fatimah lahir memikul amanah untuk menukar tradisi yang berakar umbi sekian lama. Legasi Nabi, diwariskan melalui anak Nabi yang perempuan bernama Fatimah. Fatimah berkahwin dengan Ali bin Abdul Talib, dari mereka lahir anak-anak yang menyambung keturunan Nabi.

Saya lontarkan juga soalan kepada audien, bahawa waris Nabi bertebaran di seluruh pelusuk bumi dan dunia. Mereka yang mengejek Nabi sebagai abtar, mereka-mereka itulah yang terpotong waris kerana walaupun mereka banyak anak lelaki di zaman Nabi, tetapi keturunan mereka tidak ramai di zaman sekarang ini. Jadi, siapakah yang abtar sebenarnya?

Itu satu contoh peranan yang dibawa oleh Fatimah, sebagai penyambung warisan keturunan Nabi, sebagai penukar tradisi yang warisan itu hanya layak melalui anak lelaki.

Kenapa perlu berlaku peristiwa ini?

Kerana dalam banyak perkara, Nabi membawa ajaran dan kehendak agama, bukan dalam bentuk wahyu semata, malah contoh fizikal. Contoh fizikal ini lebih kuat suara dan saranannya, kerana ia adalah sunnah yang ditunjukkan dari peribadi makhluk yang sangat mulia semesta alam, iaitu Nabi Muhammad (selawat dan salam atas junjungan.)

Dalam kuliah 1 jam itu juga saya terangkan dengan tradisi yang lebih indah yang ditunjukkan Nabi. Ditulis dalam hadis cara Nabi melayan Fatimah:

·    Rumah Fatimah adalah bersebelahan dengan rumah Nabi. Setiap pagi Nabi akan pergi ke rumah Fatimah dan mengucapkan salam kepada Fatimah.
·    Sekiranya Nabi berpergian ke luar, perang atau urusan lain, Fatimah adalah orang terakhir yang Nabi jumpa, dan bila pulang Fatimah adalah orang pertama yang Nabi cari.
·       Nabi juga dilihat selalu mencium wajah Fatimah dan mencium tangan Fatimah.

Satu soalan, kenapa Nabi buat semua ini? Adakah kerana Fatimah anak kesayangan?

Saya melihatnya adalah sunnah yang mahu diwariskan Nabi. Tentang perempuan, tentang anak perempuan, tentang kasih sayang dan penghormatan itu perlu diberi seikhlas jiwa dari seorang lelaki kepada seorang anak perempuan. Seterusnya perempuan itu sendiri perlu dilihat sepenuh hormat, harta yang perlu dilindungi, sebagai seorang manusia yang punya ruh dan karakter, seorang hamba Tuhan yang tetap mampu berperanan dalam tugas agama dan melestari ajaran agama. Itulah Saidatina Fatimah, signifikan kedudukan Saidatina di dalam masyarakat sewaktu kedatangan Islam.

Masih ingat lagi tradisi orang Arab yang menanam anak perempuan mereka? Masih ingat lagi wajah bapa yang hitam kerana isterinya melahirkan anak perempuan? Ingat lagi segala penghinaan terhadap wanita, dan Nabi menunjukkan bagaimana semua persepsi jahiliyyah ini boleh diubah melalui Fatimah.

Seorang bapa mencium wajah anak perempuan adalah revolusi. Seorang bapa menundukkan kepalanya untuk mencium tangan anak perempuan adalah tindakan revolusi. Dan untuk saya seorang perempuan, ia adalah gerak tindakan yang mempamerkan kehormatan dan kasih sayang sekaligus. Perempuan tempat selayaknya untuk dia adalah untuk disayangi dan dilindungi.

Ada banyak lagi tentang Fatimah, yang ditulis ini hanyalah sedikit percikan dari sekian banyak isi dari makalah nipis Ali Shariati.

Audien bertanya, karya ini kesimpulannya untuk apa?

Saya ceritakan sedikit lagi, kesimpulan yang saya tidak boleh bawakan dengan hanya beberapa perenggan. Saya perlu ceritakan secara panjang lebar.

Buku ini bermula dengan pertanyaan, siapa aku? Pertanyaan yang perlu ditanya oleh semua wanita.

Wanita-wanita sezaman dengan bonda saya tidak mempunyai konflik identiti dan penerimaan tradisi. Bonda saya menerima dirinya dengan peranan domestic di dalam rumah yang menjaga dengan baik semua keperluan rumahtangga.

Saya pula bagaimana? Saya dibesarkan di rumah tradisi, saya mewariskan peranan perempuan yang ditunjuk contoh oleh bonda saya, tetapi kemudian saya dihantar belajar dan merantau. Di tempat belajar saya menerima tradisi-tradisi moden baru seperti keilmuan, keperluan untuk berkomunikasi dengan berlainan gender tetapi tidak punya talian kekeluargaan, saya digesa untuk mentadbir urus beberapa perkara dan banyak lagi. Saya juga masih lagi perlu menyelesaikan tugasan domestic di rumah sebagai seorang perempuan.

Buku ini menggesa semua orang, tidak tertakluk gender untuk bertanya siapa aku?

Saya juga bertanya.

Soalnya, dalam masyarakat yang berbilang ini, adakah masyarakat mahu menerima definisi siapa aku yang saya sendiri tentukan? Yang takzim mewarisi tradisi dan juga kehadapan menerima realiti yang berlangsung ketika ini.

Bolehkah masyarakat menerima seorang aku yang mereka sendiri definisikan?

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah