Tawar Menawar Dalam Berdoa - 1

Awak,

Saya tidak pernah tahu kadang-kadang pelajaran itu memakan banyak tahun sebelum sempurna. Dan Tuhan membiarkan kita melalui banyak benda dalam keadaan sedar ataupun tidak, sehingga ilmu itu benar-benar dapat kita fahami dan manfaat.

Minggu ini saya telah melengkapkan ilmu tentang "Tawar Menawar Dalam Berdoa" dan itu mengambil masa lebih dari 20 tahun. Macam terlalu berlebih-lebih, tetapi itulah yang telah saya lalui. Pelajarannya hanya lengkap selepas saya berbincang dengan kawan seHaji.

Kami (saya dan kawan) mempunyai ramai kawan yang sama. Kami jadi pemerhati untuk menjadikan apa sahaja dalam kehidupan ini sebagai ilmu, sebagai check and balance.

Ada satu pattern dalam hidup kita dalam aspek doa. Terutama doa apabila kita berada dalam kesempitan atau sedang terkepit oleh sesuatu yang membahayakan diri atau keluarga. Contoh, apabila kita berada dalam situasi bahaya seperti akan kemalangan, kita akan berdoa, "Ya Allah selamatkanlah aku, aku belum sempat berbakti kepada ibu bapa, jika kau sihatkan aku, aku akan sunguh-sungguh berbakti pada mereka" atau kita ditimpa sakit yang teruk, kita akan berdoa "Ya Allah sihatkanlah diriku supaya aku boleh beribadat." Contoh-contoh seperti ini sudah ditulis dalam Al Quran. Seperti diladai badai di lautan atau sedang lemas, inilah bentuk ucapan doa kita ketika nyawa berada di tenggorokkan.

Dengan maksud, bila kita dihadapkan dengan kesulitan paling getir, kita selalu akan berjanji kepada Tuhan untuk menjadi lebih baik sekiranya Tuhan mengeluarkan kita dari kesusahan. Kita bersandar kepada sesuatu untuk lepas dari sesuatu.

Atau saya perlu terangkan lebih lagi, awak?

Contoh, kalau kena strok atau serangan jantung, doa yang dipanjatkan adalah seperti berikut,

"Ya Allah selamatkanlah aku, aku belum sempat berbakti kepada ibu bapa, jika kau sihatkan aku, aku akan sunguh-sungguh berbakti pada mereka."

Kemudian Allah sihatkan kita. Dalam tempoh itu boleh jadi kita berbakti sungguh-sungguh pada mulanya, tetapi kemudian bila sudah bertahun-tahun kita jadi lupa. Jadi sambil lewa pula untuk memerhatikan ibu dan ayah.

Lepas beberapa tahun,  ibu dan ayah pun meninggal. Masa itu kita teringat doa lama dan kita mula berpeluh-peluh sebab kontrak kita sudah berakhir. Ditakdirkan Tuhan kena serangan jantung sekali lagi. Mula buat perjanjian baru. Kita bermonolog dengan Tuhan, "walaupun mak ayah aku sudah tiada, aku masih ada ibu mertua, bapa mertua. Maka Kau panjangkanlah umurku, supaya aku boleh terus berbakti."

Dan Allah sihatkan kita juga. Selang tahun, benda yang sama juga berlaku. Lupa, dan berbakti dengan hati yang separuh. Kalau akhirnya yang mertua juga akan pergi, kita akan panik semula dan mula memikirkan kontrak yang baru.
 
Kita pun mencipta dialog doa yang baru, "Ya Allah, meski semua ibu bapa ku telah pergi, tetapi doa anak yang soleh juga akan jadi penyambung dan bukti bakti setia dan ketaatan serta perlakuan kebajikan untuk mereka, maka Kau panjangkanlah umurku."
 
Begitulah kita sebagai manusia yang senang sekali membuat tawar menawar dalam berdoa. Saya tidak katakan ianya asing, saya sebagai manusia yang biasa pun pernah berbuat benda yang sama. Tetapi bentuk pengajaran yang saya terima begitu berat untuk ditanggung di pundak, dan tidak pernah menyangka saya melibatkan orang yang lain dalam doa tawar menawar saya sendiri.
 
Tinggal lagi, saya akan bertanya awak, apa yang kita lakukan ini baik atau sebaliknya?
 

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang