Cita-cita Jauh Cita-cita Dekat - #1

Dalam setiap semester kuliah, selalu saya menerima tetamu-tetamu istimewa. Mereka istimewa kerana disebalik umur muda mereka, mereka mahu bertanya persoalan di luar kotak dan apa yang dibelajar. Tetamu yang seorang ini tiba di bilik sambil membawa dua buah buku. Satu bertajuk KA+WAH ditulis oleh Pipiyapong dan satu lagi Pendek Mabuk Gila karya Ahmad Kamal Abu Bakar. Dia mahu saya baca buku yang dibaca.

Sehingga entri ini ditulis, saya masih belum baca kedua-duanya. 

Perbualan kami dimulakan secara rambang. Tanya Orang Muda (OM), "saya ada baca tentang perbankan, tentang duit kertas. Saya banyak benda tak faham." 

Saya senyum. Mahu mendengar dulu apa yang terbuku di dalam dada.

"Saya juga pernah bertanya, apa yang saya belajar ni akan bawa saya ke mana?"

Saya rasa dilema OM bukan dilema yang asing. Lebih-lebih lagi di zaman ini di mana alternatif terlalu banyak. Ramai sudah yang sudah keluar dari satu fahaman statik tentang, habis SPM-Universiti-kerja-kahwin-dan ulang semula rutin. 

Ada orang muda yang seawal usia 17 tahun selepas habis SPM sudah tahu mahu jadi apa. Ada di antara mereka yang menolak masuk universiti kerana mereka merancang untuk membuat sesuatu yang lain. Sesuatu yang dekat di hati bukan yang ditentukan masyarakat untuk mereka. Tetapi bukan bermaksud mereka bukan orang muda berwawasan. Malah mereka belajar sendiri dari sumber terbuka yang bertebaran di internet, yang membolehkan mereka belajar apa yang mereka mahu mengikut masa sendiri. 

Pelajaran tinggi bukanlah sesuatu yang eksklusif lagi. Ia peluang terbuka untuk semua orang. Hanya perlu akses kepada internet, rajin membaca, rajin untuk buat perbincangan, dan kita sudah menjadi setanding dengan mereka yang menuntut 4-5 tahun di universiti. Seperti yang ditawarkan di Coursera. Ilmu yang baik juga banyak terdapat di internet dan buku-buku yang baik di pasaran. 

"Adakah awak akan sambung selepas habis belajar nanti?" Saya bertanya OM.

"Saya tidak pasti. Tetapi rasanya memang akan sambung belajar."

"Kenapa?"

"Sebab itu masyarakat ermm keluarga juga harapkan. Kejayaan itu ditentukan dengan tinggi sijil dari universiti."

"Selepas itu apa?" tanya saya lagi. 

"Kerja."

Jawapan yang saya sudah agak.

"Saya melihat awak dengan kemahiran istimewa patut boleh fikir yang awak punya peluang lain. Awak ada kemahiran untuk aktiviti lasak dan masuk gua kan? Kalau awak sangat berminat, awak sepatutnya ambil lesen pelancongan dan kemudian boleh usahakan pelancongan masuk gua kepada pelancong luar negara."

Dia senyum separuh. Bukan benda baru untuk dia. Selalu yang saya ulang-ulang itulah.

"Secara umumnya, semua orang yang bersusah payah belajar matlamat utamanya ialah untuk mendapat kerja yang setimpal dengan kelulusan. Fokus utamanya ialah untuk mendapat pendapatan bulanan, gaji untuk menyara kehidupan dan keluarga."

OM mengangguk. 

"Sekiranya awak boleh mendapat gaji yang baik dengan kemahiran yang ada, adakah ia benda yang kurang baik?"

"Saya tak rasa tidak baik. Cumanya ia tidak sejalan dengan jangkaan keluarga dan masyarakat."

"Pipiyapong dan AKAB ni, saya tanya awak, mereka kerja tak?"

"Pipiyapong seorang tukang jahit dan menjadi penerbit buku. AKAB saya tak pasti."

"Zaman ini adalah zaman yang paling dinamik yang boleh disaksikan sejarah. Ramai orang hidup dengan kemahiran, dan mereka hidup senang dan tenang. Tetapi seperti sangkaan awak, kejayaan mereka tidak mendapat pengiktarafan masyarakat."

Ada orang mengetuk pintu. Saya melayan mereka di pintu sekejap sebelum kembali mengadap OM.

"Satu masa awak akan tahu kehidupan ini yang kebanyakkan orang buat ialah rutin yang sama. Tetapi bila awak berada dalam sektor pekerjaan kita akan mula bekerja. Tujuan kerja itu adalah dapat gaji. Dan gaji itu nanti digunakan untuk bayar bil-bil."





Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang