Menangislah

Ada pesan yang mengatakan, sudah-sudahlah menangis. Atas apa yang dirasakan manusia, Allah sudah menyediakan tempat lebih baik di 'sana'.

Tetapi saya terus menangis. Bila dapat tahu suami yang begitu tegar biar isteri kelaparan, tidak tinggal duit buat belanja. Sehingga kurus kering. Bagi suami dayus ini, isteri hanyalah sebagai alat. Mati lapar pun tidak mengapa. Begitu kebulur sehingga perlu mencari duit syiling di celah-celah perabot. Guna untuk beli ikan bilis dan tepung untuk dibuat cucur.

Ada yang nasihat, tak perlu menangis dan bersedih. Untuk lelaki dayus itu ada balasan setimpal, untuk isteri tempat lebih baik di syurga.

Saya terus menangis sampai orang tanya kenapa.

"Menangis adalah satu perlakuan yang menunjukkan kau 'rasa'. Kau terkesan dengan aniaya orang terhadap orang lain, dan membuat kau perlu respon, walau sekadar menangis."

Dia diam.

"Menangis akan tinggal tanda dalam hati kau. Rasa tak senang, rasa marah, rasa mahu membetulkan."

Tapi bukan kita boleh buat apa-apa pun.

"Sebab apa kau cakap macam tu, sebab kau tak rasa. Isteri tu bukan mak kau, kakak atau adik perempuan kau."

Habis tu, perempuan tu ada kaitan dengan kau ke?

"Tak. Tapi kita berasal dari tempat yang sama. Dari ruh Tuhan yang menjadikan, kerana itulah aku rasa!"

Dia tunduk. Tapi aku mahu terus bercakap.

"Apa jadi kalau kau kena macam tu, dan tak ada siapa peduli. Malah bersikap sama macam kau ni?"

"Bila kau rasa digerakkan, baru kau nak bertindak. Sekurang-kurangnya kau boleh nasihat kat suami tu. Atau minta keluarga terdekat nasihat. Atau minta ketua kampung, ketua pejabat nasihat. Boleh juga adukan kat pejabat kadi, biar diadili. Atau sebab kau rasa, kau boleh hulur belanja bulanan kat dia, sekurang-kurangnya dia tak lapar. Ini bukan soal nak makan mewah tau tak, ni soal nak makan sehari sekali pun tak lepas!"

Saya tidak setuju jika ada orang nasihat hentikan air mata. Sedang Nabi Muhammad menangis. Sedang Nabi Yaakob menangis sehingga buta. Dan saya mahu terus menangis atas keberuntungan diri saya tetapi tidak membuat apa-apa perubahan signifikan dalam masyarakat.

Di saat orang nasihat jangan bersedih, ada kanak-kanak di sekolah tidak dapat pergi sekolah. Ibunya tidak ada duit kerana semalam ayahnya kalah judi.

Di saat orang nasihat supaya kita kekal tenang kerana Tuhan memeluk mereka dalam keredhaan, ada anak sekolah yang lari rumah kerana didera teruk ibu bapa. Malah ada yang trauma tidak boleh bercakap, kerana didera setiap hari. Anak sekolah yang keciciran, kerana ayah berada di penjara kerana merogol kakak!

Orang yang tak berhati memang menahan air mata mereka. Air mata bukan menunjukkan lemah, tapi penguat kepada diri kita secara bisikan, yang kita boleh lakukan sesuatu. Yang kita bertekad lakukan sesuatu.

Masyarakat kita sakit, sebab ramai yang cakap biarlah. Tidak relevan bukan saudara sedarah. Tidak guna bazir air mata, kerana mereka bukan kenal kita.

Tuhan pun tidak akan kenal kita kalau kita tidak ada sikap belas dan membela orang miskin. Bukan tidak ditulis dalam Quran, kau yang tidak baca dengan sedar dan mata terbuka.

Saya menangis kerana itu ditunjukkan Quran. Saya menangis kerana itu ditunjukkan Nabi. Saya menangis kerana saya rasa. Jika tidak dapat saya gerakkan tenaga, upaya, wang ringgit dan harta, sekurang-kurangnya air mata itu adalah doa tulus saya kepada Allah Sang Penguasa.

Tapi demi, yang kau baca tulisan ini, aku tidak tinggal diam. Aku telah dan sedang dan kekal akan lakukan sesuatu, kerana air mata ini akan tinggal sia-sia kalau buat aku menjadi manusia yang menyesali, bukan manusia yang bertindak.

Demi!

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang