OK! Tak boleh tahan dah

Saya sudah tidak boleh tahan lagi. Saya mencari hujah tentang jerebu ini yang bagai tidak berkesudahan. Saya tidak nampak di tempat saya sudah dilakukan usaha-usaha untuk pembenihan hujan, untuk membersihkan udara yang cemar dengan partikel yang sangat merbahaya kepada paru-paru dan kesihatan.

Kenapa nak emosional sangat?

Kenapa nak emosional sangat? Saya beritahu ini adalah masalah sejagat yang menyangkut kesihatan manusia. Terutama golongan tua, kanak-kanak dan bayi. Kita yang perkasa ni jangan nak rasa perkasa sangat, jika Tuhan nak beri kita sakit itu bila-bila, memang betul boleh jadi. Itu berlaku kerana aturan dan keperluan badan untuk distabilkankan. Tetapi jika berlaku campur tangan manusia, contoh, seperti kejadian jerebu ini, saya tidak boleh tahan. Bagaimana boleh orang beri nasihat, relax la, hisap rokok dulu. Nak kena pelangkung ke apa, dalam keadaan seperti ini masih lagi hisap rokok, bakar sampah sarap dan lebih tidak tahan di Putrajaya galak membakar bunga api dan mercun sempena festival apa tah, saya tidak ingat.

Relax, kenapa nak marah-marah. Bukan kali ini kita rasa keadaan jerebu, sudah banyak kali. Kan selepas itu elok-elok sahaja.

Kenapa saya nak marah. Saya ada ibu yang sudah tua. Saya ada anak-anak saudara yang masih bayi yang perlukan penjagaan. Saya ada kawan-kawan yang mempunyai sakit semput dan asthma. Sedang habuk di rumah sahaja membolehkan mereka bernafas tercungap-cungap, ini pula terdedah kepada habuk dan debu sepanjang masa. Kita masih ada binatang yang berinteraksi dengan alam yang juga kita perlu pedulikan. Dan hakikatnya saya baharu sahaja survive dari demam panas mendadak, saya percaya ini juga ada kejadian jerebu yang ada. Terima kasih Tuhan, kerana masih memanjangkan umur saya. Dan kerana itu saya rasa bertanggungjawab menulis hari ini, saat ini.

Yang lebih saya tidak tahan, bila saya menunggu golongan agama untuk komen mengenai hal jerebu ini. Di bawah adalah paparan komen dan nasihat seorang Ustaz kepada pembaca FB mereka. Apakah?


Bukan saya tidak bersetuju dengan apa yang dicadangkan Ustaz tersebut. Tetapi dengan sedikit ilmu yang Allah berikan kepada saya, saya tidak dapat mengeyakan sepenuhnya hujah separuh masak seperti itu. Kerana hujah sebegitulah golongan liberalis, sosialis dan sains akan lebih galak kepada ustaz, alim ulama yang ada.

Minta maaf, saya tidak bermaksud jahat. Saya lebih suka setiap dari kita diperkasakan dari semua sudut ilmu. Baik dalam agama yang fardhu ain dan kifayah, malah ilmu-ilmu dunia supaya kita tidak dipandang begitu cetek, tidak kritikal, gagal menggunakan akal rasio, malah menimbang dengan hujah yang tidak berpasak.

Kejadian jerebu ini bukan tidak dapat dikesan dari mana hulunya. Ia adalah hasil pembakaran terbuka. Boleh jadi dari industri perladangan (katanya kelapa sawit), boleh jadi hasil dari ladang individu, boleh jadi oleh pembakaran terbuka semula jadi hutan di titik-titik panas, boleh jadi pembakaran dari hutan tanah gambut yang jika terbakar ia seperti sekam, tidak kelihatan mata tetapi menyala-nyala di bawah sana. Saya ambil informasi ini di sini. 

Jika bukan isu, tidak akan ada yang mengadu. Bukan isu apanya, Singapura sampai hilang dari pandangan kasad mata. Burung-burung berterbangan sampai mata ketika sedang membuka kepak mereka. Berapa ramai yang sudah dimasukkan dalam hospital, berapa banyak pula mask yang perlu dibekalkan, berapa juta belanja ubat yang perlu diberi kepada mereka yang sakit lelah, demam, batuk dan selsema. Kerugian terhadap industri yang terbabit bagaimana pula. Tidak perlu di ambil kira?

Saya jadi tidak boleh tahan, kerana isu ini bukan isu lapuk. Bukan tidak pernah ditunjuk, lama dulu Rasulullah sudah mengajar kita tentang penjagaan alam secara lestari. Sebelum orang Barat mengenal apakah dia perkataan alam sekitar, ekologi, sustainability dan sebagainya. Tetapi di mana hujah agamawan kita tentang hal ini?

Saya mengharapkan kritikan secara terbuka kepada pembuat salah. Sekiranya benar mereka membuat pembakaran terbuka hutan secara besar-besaran kerana mahu jalan mudah, pantas dan murah tanpa mengambil kira manusia lain yang terbabit dalam salah laku tangan mereka. Harap dapat perhatikan ayat ini:

'Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)' - Surah 30 Ayat 41.

Siapa yang perlu bertaubat? Kita? Bukan kita yang melakukan pembakaran ini. Akan ada orang kata perkara ini berkait-kait, dan kita sendiri perlu bertaubat. Saya setuju, jangan kata saya tidak faham tentang hal ini, saya faham.

Yang saya faham ayat ini, antara perbuatan-perbuatan buruk yang kita lakukan, walau bukan tangan kita yang melakukan kebakaran, adalah kerana kita tidak bersuara mengherdik, mencela, condemn mereka yang sedang mencemar alam dan mereka yang bersengkongkol membenarkan hal ini walau mereka sendiri ada kuasa untuk memberhentikannya.

Yang saya tidak faham kenapa tidak ada kritikan secara terbuka kepada kapitalis, golongan pemodal yang rakus. Bukan tidak ada kaedah lain untuk membersihkan hutan tetapi sudah tentu melibatkan kos yang lebih tinggi. Ya, boleh jadi bising-bising saya ini tidak berasas, tetapi berdasarkan laporan RSPO (roundtable on sustainable palm oil) yang sanggup memberi data hanya 2 syarikat, lagi 3 syarikat belum beri kenyataan apa-apa.

Rasulullah telah mengajar kita konsep untuk menjaga kelestarian alam sekitar berpaksikan kepada tiga prinsip:
1. Tauhid (unity)
2. Khalifah (stewardness)
3. Amanah 

No, saya tidak mahu menulis lagi panjang lebar mengenai hal ini. Saya telah selesai menulis pada tahun 2009 yang lalu di sini. Capaian asal tentang perkara ini boleh terus dirujuk kepada penulisnya di sini.

Yang tidak ada ketundukan kepada konsep unity itu siapa? Yang tidak mempunyai rasa tanggungjawab dan belas sebagai seorang khalifah itu siapa? Yang tidak amanah dalam menjaga amanah itu siapa?

Saya bukan membesarkan perkara, juga bukan galak menuduh, tetapi berharap agar syarikat yang disenaraikan RSPO tidak terlibat dalam kebakaran hutan ini, tidak juga pencetus kepada jerebu ini. Dan yang meluluhkan hati dan perasaan saya nama ini, Tabung Haji Plantations. Sila semak sendiri sekali lagi di capaian ini.

Demi, ilmu yang saya perolehi dari Tuhan yang Maha Pemberi, saya harapkan semua tulisan saya di atas salah-salah belaka, tidak berasas sama sekali, juga separuh masak sama seperti kritikan awal yang saya lemparkan sebaik sahaja saya menekan papan kekunci. Tidak mengapa, saya tidak rugi apa-apa. Tulisan ini hasil dari kesedaran, hasil dari rasa terhutang budi kerana terlepas dari azab api neraka dunia (demam panas), survival kerana mendapat peluang lagi menghirup udara Tuhan, meski dalam keadaan berjerebu.

Tangan yang salah itu perlu kita nasihatkan terlebih dahulu. Ayat Al Quran ini menyangkut mereka terlebih dahulu 'Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)' - Surah 30 Ayat 41.

Kita adalah golongan yang tertindas, hasil dari kerja tangan mereka yang seperti tidak salah apa-apa!



Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang