Mimpi Kami

#1
Saya tidak merasakan menulis begitu penting sehinggalah semalam, ketika menghabiskan masa bersama rakan di Cafe Coffee Bean KL Sentral. Tujuan kami duduk berlama-lama di situ dengan objektif jelas, untuk menyunting karya rakan-rakan supaya dapat diterbitkan menjadi buku dalam masa terdekat, inshaAllah, doakan. 

Kedai itu sangat selesa. Jauh dari laluan utama orang ramai di KL Sentral. Diletakkan di sudut yang aman, dengan aroma Kopi yang selalu saya rindukan, bunyi muzik nyaman menyuntik semangat, tentu dengan secawan besar Kopi Hazelnut dengan cream penuh sampai ke penutup. Syurga hujung minggu. Cuma keadaan jadi semakin panas bila penghawa dingin tidak terasa bila berlama-lama di situ.

Meniliti kertas-kertas yang banyak di depan mata, saya senyum. Rakan-rakan saya sudah naik satu tingkat dengan menulis. Sebelum ini mereka sangat aktif membaca dan melibatkan diri, kali ini saya pasti mereka sedang bergerak untuk meninggalkan tanda pula.

Dalam banyak keadaan jika dapat berpesan, saya akan berpesan. Terutama kepada orang-orang muda. Kata saya "kenapa awak menunggu orang lain menulis cerita awak, sejarah awak sendiri? Kalau mereka salah tulis atau fakta tidak tepat macam mana?"

Dan mereka sudah menulis.

#2
Iringi muzik di cafe benar-benar membantu mood. Dalam banyak keadaan mata saya bergenang. Cerita-cerita mereka adalah cerita kehidupan, malah kehidupan yang sedang mereka tangani sepenuh dedikasi. Kadang-kadang saya sampai berfikir panjang, mereka ini dalam usia yang begitu muda sudah berani mengambil tanggungjawab.

Tanggungjawab di atas keputusan untuk masa depan dan kebahagiaan diri sendiri, tidak menyalahkan ibu bapa juga persekitaran. Membuat keputusan berdasarkan minat kerana mereka sudah mengenali diri sendiri dan berani untuk bertindak atas kepercayaan itu. (seperti menonton watak Farhan dalam 3 Idiots pun ada juga).

Tanggungjawab untuk terjun ke masyarakat, memperhatikan dan mempedulikan mereka yang tidak bernasib baik untuk bantu mengubah kehidupan mereka. Supaya yang dilihat adalah dunia penuh harapan dan masa depan. (Seperti watak Rancho di hujung cerita 3 Idiots, yang mendidik kanak-kanak pedalaman dengan teknologi dan sains sehingga mereka berupaya mencipta begitu banyak inovasi yang membantu kehidupan seharian).

Tanggungjawab untuk tidak menyalahkan takdir diri dan keluarga, kerana dilahirkan dalam keluarga yang bukan berada dan mewah. (Seperti Raju ketika sedar bahawa kita punya pilihan untuk masa depan, yang boleh diubah dengan percaya diri dan kesungguhan).

#3
Saya pasti ada sebak yang ditahan. Juga air mata yang diempang, supaya tidak tewas di hadapan sahabat editor.

Semoga usaha mereka sudah pun mendapat tempat dalam ganjaran Tuhan.

Untuk awak yang membaca, doakan untuk diperteguhkan hati dan kaki kami. Terima kasih. :)

Nantikan Julai 2013, dengan seizin Allah. Solidariti anak-anak muda Malaysia yang progresif dalam aktivis pendidikan untuk mereka yang sering kita lupakan. Kali ini mereka kongsikan cerita dan pengalaman dalam bentuk tulisan dan cetakan.

Doakan!

Terima kasih.


Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah