Jangan Sampai Terlepas Peluang

Dua hari ini saya perlu berbengkel sampai malam. Dari pagi sehingga ke jam 10.30 malam. Seperti kerja-kerja yang perlu dipanjangkan masanya, saya tidak pernah menyukainya, siapa akan suka pun?
Tapi dua hari ini bawa saya untuk menilai diri, ada memori yang perlu saya putar kembali. Saya akan ceritakan sepanjang penulisan ini.

Ada banyak perkara yang saya tidak berbangga dengan diri sendiri, dan salah satunya apa yang diperolehi dalam bengkel sampai ke malam yang baharu sahaja sudah sebentar tadi.

Guru yang datang untuk mengajari adalah guru lama saya. Yang saya kenali beliau ketika saya masih berusia belasan tahun. Saya percaya, dia selalu menyokong perkembangan profession dengan sokongan yang begitu teguh, cuma saya tidak pernah benar bersungguh menghargai dia. Yang dia kenali nama saya, dan kekal mengingat walau sudah begitu jauh masa menjarakkan. Sewaktu saya bergelar pelajar, dan beliau sebagai pensyarah.

Saya sudah katakan, ada beberapa perkara yang saya tidak berbangga dengan diri sendiri, malah menyesali, ini salah satu darinya.

Semalam ketika beliau memulakan ucapan, katanya, “pihak pengurusan telah meluluskan cuti separuh gaji saya, dan jika tidak ada aral melintang, saya akan bersara seawal bulan Julai.”

Saya memandang beliau dengan mata tidak berkerdip. Pensyarah saya ini rupanya sudah sampai ke penghujung karier, walau saya selalu menganggap beliau tidak akan meninggalkan kami. Tidak untuk masa terdekat ini. Serentak itu, saya melihat garis-garis usia yang telah berkesan di wajah, di kulit, dan warna-warna putih yang semakin bersemarak di rambut. Beliau yang saya kenali sangat berusaha, tidak pernah menolak cabaran, selalu bersungguh, sentiasa mementingkan kebajikan dan untuk kebaikkan pelajar, akan mula bercuti untuk persaraan.  Saya lupa, saya bukan lagi pelajar beliau. Sudah lama jarak yang memisahkan. Meski sekarang, saya tetap merasakan beliau muda kerana tenaga yang tidak pernah habis.

Cerita 1

Pertama kali saya bertemu beliau, ketika di kelas matematik. Beliau sebenarnya mengajar peringkat lebih tinggi, tetapi menyanggupi mengajar level rendah kerana mahu memberi pelajaran peringkat asas dengan kukuh. Kata beliau, “saya melihat pelajar senior yang tidak dapat menguasai matematik dengan baik, jadi saya tawarkan diri untuk mengajar awak semua.” Itu cerita ketika belasan tahun.

Cerita 2

Ketika saya perlu menghabiskan projek akhir, saya sangat buntu. Supervisor sangat garang. Ada banyak perkara yang asas yang masih tidak faham, tetapi jika saya mengambil langkah untuk berjumpa Supervisor, itu adalah langkah yang tidak bijak. Saya dan rakan berjumpa pensyarah kami ini, duduk berhadapan dan memohon pertolongan agar dapat mengajari kami. Kata beliau, “kenapa tidak berjumpa sahaja Supervisor awak? Supervisor awak kan seorang Profesor?” Kami tunduk. Ya, tidak sewajarnya tindakan itu, tapi tidak ada jalan keluar yang lain. Kami perlu menadah ilmu, supaya projek berjalan mengikut waktunya. Tetapi pensyarah ini, satu dalam sejuta. Meski beliau berkata demikian, beliau tetap mengajar kami satu persatu dengan sabar. Dan ilmu yang kami dapat dalam beberapa detik waktu itu, adalah penyumbang terbesar dalam melengkapkan projek tahun akhir yang begitu mencekik perasaan, tenaga, waktu, dan otak. Itu cerita di tahun akhir.

Cerita 3

Ketika saya baru mendapat kerja di Pahang, tahun 2001. Saya masih ingat lagi. Ada peristiwa besar berlaku di fakulti kami. Supervisor saya kemalangan yang menyebabkan beliau kehilangan darah yang banyak. Antara usaha yang boleh dilakukan ialah untuk menderma darah. Pensyarah ini jugalah yang menghantar mesej pesanan ringkas, dua tiga kali memaklumkan tentang kemalangan, kemudian tentang keperluan untuk menderma darah, kemudian yang akhirnya, memaklumkan tentang pemergian supervisor ke tanah abadi. Dalam keadaan begitu mencemaskan, beliau masih ingat saya adalah anak murid kepada supervisor. Betapa beliau rasa berkewajipan untuk memberitahu hal ini kepada saya, terus masuk ke dalam telefon bimbit, sedang belum sepekan saya menanggalkan gelar sebagai seorang pelajar. Itu cerita di awal masuk kerja.

Cerita 4

Ketika belum pun usia perkhidmatan masuk satu tahun, pensyarah ini jugalah yang menawarkan diri untuk datang ke Pahang. Saya juga hairan kenapa beliau begitu bersungguh. Rupanya beliau samada risau tentang pelajar saya, atau risau pada saya (?) yang masih sangat amatur. Dua hari suntuk waktu yang diperuntukkan untuk pelajar saya menadah ilmu dari guru yang sangat berpengalaman dalam bidang. Semua yang diterangkan untuk dua hari tersebut mengukuhkan lagi kefahaman, malah menampung kekurangan saya yang banyak ketika saya sendiri mengajar dalam kelas. Lebih mengharukan, beliau bergerak dari Shah Alam selepas jam 12 malam, sampai di Jengka jam 2-3 pagi saya tidak ingat, dan keesokkan hari jam 8 pagi kelas tambahan pun dimulakan.

Cerita 5

Makmal kami masih belum sempurna. Saya perlu membawa pelajar ke Shah Alam untuk latihan amali mereka. Selama dua hari mereka akan berkampung di makmal, untuk menyudahi semua latihan amali yang diperlukan. Saya datang menjadi pegawai pengiring sahaja, selebihnya staf Shah Alam akan menguruskannya. Ya, sekali lagi, yang menjadi tulang belakang untuk semua ini tetaplah pensyarah saya yang sangat berbudi ini. Malang waktu itu, saya tidak mempunyai kenderaan. Tempat tinggal saya dan pelajar berjauhan. Yang membawa kami bas panjang. Waktu malam masih perlu saya bergerak ke fakulti kerana ada program. Adalah sangat tidak logik untuk sebuah bas mengambil saya dan seorang rakan lagi. Cuba teka apa yang berlaku? Ya, baik anda semua memang bijaksana laksana ahli hikmah. Pensyarah yang banyak budi pada saya inilah yang mengambil dan menghantar kami pulang walau waktu sudah lewat malam.
Saya mahu ingatkan berkali-kali dalam diri, bahawa seharusnya pelajarlah yang berbudi kepada guru, bukan sebaliknya.

Cerita 6

Dalam tempoh yang panjang ini, masih banyak lagi yang beliau telah curahkan ilmu tanpa lokek untuk saya, malah saya percaya untuk semua pelajar yang pernah menadah ilmu dengan beliau. Tetapi percaya tidak, saya tidak benar bersungguh menghargai dan adakalanya saya membuat perkara yang tidak patut.

*********************************************************************************

Saya manusia biasa. Kadangkala boleh jadi kita tidak nampak kebaikkan yang melimpah, kerana mata disibukkan dengan perkara lain yang lebih berkilau dan memukau. Saya manusia biasa, yang kadangkala tidak dapat merasa, perhatian dan ambil berat, kerana mungkin ada yang merasuk dan meracun otak dan fikiran.

Di kala saya menulis dan berkempen tentang akhlak murid dan guru, saya lupa, saya juga telah melanggarnya. Dua hari bengkel sampai ke malam membuat saya ingat kembali.

Tadi mungkin kali terakhir berjumpa, mungkin Allah menakdirkan persimpangan lain yang membolehkan kami berjumpa kembali.

Sebelum bergerak ke tempat bengkel jam 8 malam tadi, otak saya ligat berfikir. Semasa Supervisor saya ditahan dalam hospital akibat dari kemalangan, meski saya sudah dimaklumkan Prof memerlukan sumbangan darah, saya masih berlengah. Sehinggalah Prof menghembuskan nafas terakhir. Kemudian selepas itu saya menyedari bahawa darah saya berpadanan, tetapi untuk peluang berbakti itu saya terlepas kerana berlambat-lambat.

Saya tidak sempat untuk membeli apa-apa. Dalam hati dan fikiran berasak-asak pesanan, “jangan sampai lepas peluang untuk kau tunjukkan, betapa benar kau hargai dia.”

Saya merangka untuk mengimbas kembali Cerita 1 hingga 6 di atas, mungkin dengan suara dan susunan ayat yang melonkolik. Sekiranya saya berpeluang untuk bersembang dengan beliau (walau sehingga sekarang rasa segan terhadap guru sangat tinggi). Saya lupa bahawa kebanyakkan rakan di bidang ini bukanlah orang romantik, jadi ayat melankolik tentulah menyebukan perut dan mengembangkan tekak. Walau itulah hadiah paling baik saya dapat tunjukkan. Kerana saya mahu beliau tahu, saya mengingat setiap jasa yang ditaburkan, tidak luput dalam gen dan pembuluh darah. Walau sebelum ini saya lupa dan buat tidak peduli, dua hari sampai ke malam ini, bagai filem-filem lama menyerbu fikiran saya.

Bermaksud, semuanya tersimpan dalam memori gen dan pembuluh darah. Ia cuma tidak diulang dipermukaan minda dan ditunjukkan dengan tindakan. Walau saya masih akan mengaku salah yang ini.

Saya tidak punya harta yang banyak, yang disimpan di rumah. Cuma otak mengingatkan kepada Al Quran kecil yang saya simpan untuk kenangan balik dari umrah tahun 2007 yang lalu. Itulah satu-satunya harta yang akan dapat menyangkut memori kembali ke 2007, dan kebetulan Al Quran itu pula elok simpannya dalam kotak. Dengan maksud, ia tidak terdedah kepada habuk dan pencemaran lain.

Walau hati saya bergetar untuk berpisah dengan harta saya yang satu itu, ada suara lain memujuk, “jika mahu memberi, memberilah yang paling baik dan paling kita sayang.”

Berat. Tetapi lagi berat bila memikirkan, jika saya terlepas peluang yang satu ini untuk menunjukkan begitu besar penghargaan saya pada jasa-jasa beliau yang tidak terbalaskan.

Saya pun mencari beg kertas yang elok untuk mengisi Al Quran, dan beberapa cenderahati lain yang masih dalam simpanan balik dari Haji yang lalu.

TIdak banyak, tetapi semua itu pun item yang mempunyai tempat di hati.

********************************************************************************

Pensyarah saya masih lagi di kerusi, ketika saya memohon izin mengundur diri. Alangkah bagusnya kalau saya menunggu dan mengiring beliau ke kereta. Sebelum beliau berangkat balik ke Shah Alam pada malam ini juga dengan memandu sendiri, sendirian. Beliau masih ditempatnya, seperti di paku, menunggu rakan-rakan lain yang kelewatan menghabiskan kerja. Saya sangat pasti, kalau saya berada di tempat beliau, saya tidak akan menunggu mereka yang lewat. Saya akan sudahi kerja tepat pada waktu dan tidak peduli lagi pada yang lain. Tetapi pensyarah ini istimewa, itulah dia, orang yang sama sejak saya kenali seusia belasan tahun.

Sangat fokus, dedikasi, bersungguh-sungguh, dan tidak kisah berkorban ke titisan keringat terakhir.

Jangan bayangkan bukan-bukan, saya tidak sempat pun mengulang cerita yang saya simpan pada beliau. Ia hanya berkitar di memori sahaja, bising di situ tetapi tidak keluar bila berada di hadapan beliau.

Saya lihat beliau, yang sudah punya banyak garis di wajah. Saya lihat jarinya yang sedikit cacat kerana kemalangan di ketuk mesin penghentak ketika bekerja. Itu dedikasi, itu tanda pengorbanan yang dilakukan untuk anak bangsa.

Saya menyerahkan cenderahati di hadapannya, “saya balik dulu. Selamat bersara. Terima kasih kerana terlalu banyak mengajari saya, curahkan ilmu. Dan halalkan semua ilmu yang dikongsi dan diajari.”

Pensyarah saya senyum. Dan tanya “apa ini?”

“Saya tidak tahu hadiah apa yang selayaknya diberi. Tetapi semua ini kenangan yang saya simpan pulang dari Makkah.”

Ya, sampai waktu tertutup pun, beliau tidak akan tahu apa cerita di sebalik cenderahati yang Allah hadiahkan padanya.

Seperti mana, penghargaan saya pada beliau begitu tertutup sebelum ini, saya bersyukur tidak terlepas peluang kali ini.

Dia memandang saya kembali dengan senyum, saya mahu sahaja kata, “saya akan buat tuan berbangga dengan pengorbanan yang dibuat, kerana saya akan terus bersungguh-sungguh dalam lapangan apa yang diceburi, demi penghormatan kepada guru-guru yang tanpa lelah membentuk diri saya.” Tetapi melankolik tidak diperlukan di sini.

Kata beliau tanpa penghayatan saya kira, “insyaAllah kita akan jumpa lagi.” Begitu lurus bunyinya. Saya menerima dengan senyum juga.

Saya bersalah dalam banyak hal demi guru saya yang seorang ini. Namun, saya tidak punya alasan untuk mengelak dari menyatakan syukur sebanyak-banyaknya, kerana, saya tidak terlepas peluang.

Saya rasa semua hadiah itu Allah peliharakan khas untuk beliau.


Saya doakan beliau dikurniakan sakinah, mawaddah dan rahmat. Juga sepenuh penjagaan dan kasih sayang Tuhan.

Selamat berehat dan bercuti, PM Abd Rahman Mahmood.

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang