Sedekah Paling Susah

Dalam banyak-banyak sedekah, sedekah apa paling susah? Tanya seorang adik yang begitu meminati topik sedekah.

Saya pandang dia, mustahil dia tidak ada jawapan. Sedangkan banyak buku tentang rahsia memberi (saling berbagi) yang dia beli dan simpan. Barangkali adik ini hanya ingin tahu pandangan kerdil saya.


"Mmm, susah juga soalan ini. Tapi saya cuba. Bagi saya yang paling sukar untuk manusia moden ini adalah sedekahkan waktu."


Dahi adik sedikit berkerut. Mungkin jawapan yang melesat dari jangkaan. "Bukan duit?"


Saya menggeleng. "Bukan. Memberi duit lebih mudah dari waktu."


"Kenapa?"


"Kesanggupan kita untuk luangkan masa, bukan soal kecil. Ia soal lebih luas. Contoh, jika kita putuskan untuk buat khidmat sosial di rumah anak yatim selama 2 jam di hujung minggu, apa maknanya?"


"Kita korbankan 2 jam waktu rehat hujung minggu?" Adik mencuba.


"Betul. Bukan setakat korbankan rehat, rancangan happy hours dengan kawan-kawan pun burn, habiskan masa dengan keluarga, nak habiskan games baru pun tertangguh, rancangan TV favourite, drama Korea yang bersusun dalam harddisk, chatting dalam Twitter / WhatApps / wechat, shopping, namakan semua, itulah yang kita cuba kompromi."

"Apa maksudnya kalau saya minta diringkaskan?" Adik ini terlalu berfikir rasa saya.


"Yang kita hendak luangkan masa 2 jam itu ertinya ialah kesanggupan kita melepaskan kesenangan diri sendiri. Menyatakan komitmen untuk kepentingan orang lain, bukan diri sendiri. Sebab itu ia jadi susah."


Saya menulis perkataan KESENANGAN DIRI atas kertas. 


"Manusia boleh sahaja mudah memberi apa yang berlebih atau terpakai, seperti duit, pakaian lama, buku lama, permainan lama. Sebab semua benda-benda itu sudah tidak ada nilai pada diri mereka atau sudah susut nilai. Tetapi meluangkan masa itu besar taruhannya, kita mengorbankan kesenangan dan kebiasaan yang selalu kita amalkan hujung minggu."


Adik mengangguk.


"Satu lagi yang menyebabkan ianya super susah ialah, hal-hal aktiviti sosial seperti itu tidak ramai yang berminat. Kawan-kawan happy hours kita tidak semua sanggup. Sebab itu jadi ekstra susah."


"Betul. Semua itu berlaku kepada saya. Ramai kawan-kawan mengelak bila saya ajak membuat kerja amal. Seperti melawat rumah anak yatim atau rumah orang-orang tua. Atau mengajak membersihkan persekitaran ataupun pantai tempat orang berkelah."


"Kan? Tapi sebenarnya sedekah waktu ini bukan saja susah untuk diberikan kepada orang susah dan memerlukan je. Ia juga jadi susah untuk kita berikan pada diri sendiri." Ujaan yang sengaja saya suntikan supaya adik melihat perkara dengan pandangan yang lebih luas.


"Diri sendiri pun kita boleh bersedekah?"


"Sedekah waktu untuk diri sendiri ialah dengan memperuntukkan masa untuk merenung dan berfikir. Generasi Y macam awak ni, saya rasa jarang buat. Dalam bahasa akademik disebut sebagai reflective thinking."


Lagi saya coretkan perkataan, kali ini REFLECTIVE THINKING = MUHASABAH.


"Ini sedekah paling bermakna untuk diri sendiri. Berhenti sekejap berfikir dan menimbang untuk sesuatu perkara, baik atau buruk. Contoh, adakah menghabiskan masa selama satu hari suntuk bermain games itu baik untuk diri kita atau tidak?"

"Perlukah kita buat semua ini? Maksud saya menyediakan waktu khusus untuk berfikir?"


"Ya, hanya dengan berfikir dengan jelas baharu kita dapat menimbang dengan baik. Kalau hendak mudah, 10-15 minit selepas waktu solat. Jika tidak habiskan masa untuk berzikir, lebih baik peruntukkan masa untuk berfikir." 


"Boleh explain lagi tak, saya kurang dapat tangkap maksud yang hendak disampaikan." Saya melihat dia dalam kesukaran mencerna.

"Saya beri contoh paling simple. Jika tidak berfikir, itu yang menyebabkan ramai dari kita menangguh kerja. Menyudahkan level untuk games lebih penting dari siapkan kerja sekolah atau tugasan. Betul tak?"


Adik mengangguk laju. Barangkali dia tidak pernah tahu suatu masa dahulu saya adalah games geek (kental pula tu). Yang saya ceritakan semuanya adalah pengalaman dekat dengan diri sendiri, bukan meminjam dari orang lain. Kalau nantinya adik sampai bertanya, saya akan jawab tentu saya menyesal dengan pilihan itu. Tetapi pengalaman mengajar, dengan itu boleh berkongsi agar adik-adik tidak melalui jalan pembaziran yang sama. 


"Berfikir itu satu bentuk sedekah?"


"Bagi saya ya. Sebab ia sangat mahal. Saya kategorikan sebagai sedekah masa untuk diri sendiri. Tetapi tidak ramai yang mahu buat kan?"


Adik tidak bereaksi. Mengangguk tidak, menyanggah juga tidak. Mungkin dia sedang bersedekah masa untuk dirinya sendiri, berfikir dengan lebih lanjut.

"Yang saya berikan contoh-contoh tadi adalah benda paling mudah. Sebab hanya dengan konsisten berada di daerah fikir membolehkan kita bertanya soalan lebih penting. Seperti kenapa kita ditakdirkan hidup, apa tujuan hidup, ke mana kita selepas hidup."

Bilik ini khali. Bunyi aircond menguasai.  

Saya menulis lagi kali ini dalam tulisan Arab dan rumi, 

AFALAA TA'QILUUN (apakah kalian tidak berakal?)
AFALAA YANDZURUUNA (apakah kalian tidak memerhatikan?) 
AFALAA YATAFAKKARUUN (apakah kalian tidak berfikir?).


"Banyak ujaan seperti itu bertebaran di dalam Al Quran. Kalau banyak kali diulang-ulang bermaksud ianya amat penting. Tetapi sayang, kita tidak terlalu memerhatikan dan mengambil serius." Saya menjelaskan kenapa saya menulis ayat-ayat tersebut.

"Boleh saya ambil kertas ni?"


Saya senyum, "tentu sahaja boleh."


Adik meminta diri dan berterima kasih. Saya memandang sehingga dia menutup pintu sempurna.



(ambil waktu untuk berfikir sempena PRU 13, ermmmm)




Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah