Seperti Air yang Mengalir...

"Sungai Jordan dan laut mati. Kedua-duanya di Palestin. 1. Sungai Jordan mengalir menjadikan tanah subur. 2. Laut mati penuh dengan garam sehingga tiada hidupan mampu hidup di sana. Sungai Jordan mengalirkan air ke laut mati. Dan laut mati tidak mengalirkan ke mana-mana. Di sini dapatlah kita lihat betapa besarnya nikmat memberi dan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan."

Itu status seorang Adik yang dalam hatinya ada pelangi. Sejak akhir-akhir ini Adik itu sudah menitipkan pesan-pesan berguna dan bermakna dalam status Facebooknya. Sudah berubah, statusnya sudah menjadi seperti air yang mengalir dan cahaya, dengan berkongsi ilmu. Yang ditulis untuk menyampaikan pesan-pesan kebenaran, meski saya sendiri tahu apa kritik dan perlian rakan-rakan disekelilingnya. 

Harga yang perlu dibayar oleh mereka yang mahu berpesan kepada perkara baik dan kebenaran.

Saya kagum kerana diusia muda, Adik itu menyanggupi kerja mulia, tidak kisah tidak menjadi seperti majoriti mereka seusia, kelihatan ganjil dan poyo, tidak membantu banyak kepada konteks pembelajaran di bidangnya di Universiti, seolah-oleh menghabiskan masa kepada perkara yang tidak perlu dan sebagainya. 

Besar pengorbanan Adik tetapi dia masih lakukannya sepenuh hati, sepenuh keikhlasan.

Dalam dada sepenuh doa untuk Adik: kekuatan, kesabaran, ketekalan, semangat, niat yang putih, pertolongan Tuhan, ketenangan dan keamanan, keselamatan, nama yang baik, kebahagiaan dan disempurnakan segala cita-citanya. Dalam hati ada cemburu dan kagum sekaligus, kerana saya tidak seperti Adik di usia yang sama seperti dia.

Tapi demi, contoh-contoh yang baik didatangkan di hadapan mata dan sekeliling saya sejak setahun dua ini, saya juga akan berusaha untuk menjadi seperti air yang mengalir. Bersih lagi menyucikan, murni lagi menghidupkan, sejuk lagi menghilangkan dahaga, bergenang dan menitis (air mata) yang boleh menyubur jiwa, suci yang melengkapkan wuduk seterusnya melayakkan kita berdiri dan sujud di hadapan Tuhan.

Adik itu mahu terlibat secara langsung dalam pendidikan adik-adik yang masih di bangku sekolah. Meski dia bukan seorang guru, tetapi bagi dirinya selagi kita ada ilmu tetap membolehkan kita menyampaikan. Bukan saudara kandung yang mahu diajarinya, tetapi adik-adik yang menempati rumah kebajikan, miskin dan anak-anak yatim.

Saya lihat langit cerah terang bercahaya di balik awan. Pewaris bangsa dan negara seperti ini, bukankah di hati kita boleh menguntum senyum menggunung? Ya, saya meletakkan harapan bangsa dan negara di bahu dia. 

Tetapi untuk berlaku adil, saya tidak boleh sekadar berpeluk tubuh dan menepuk bahu Adik memujinya bangga. Untuk adil, saya sendiri terlebih dahulu perlu menyinsing lengan baju, bersama-sama mereka menyediakan prasarana untuk kemudahan mereka bergerak, dan sama-sama bergerak selagi boleh.

Adik mahu bantu membetuli yang masih kurang dalam masyarakat dan negara. Kata dia, tidak cukup dengan cakap dan angan-angan kosong. Tidak akan membawa kemana-mana kecuali perasaan marah yang semakin menimbun dalam dada.

Entah kebetulan, saya membaca ayat indah dalam buku Pramoedya Ananta Toer (PAT), 

"akhir-akhirnya masalah kemasyarakatan, kenegaraan dan kehidupan bersama kita bukan khusus masalah para pemimpin dan pemerintah belaka, tetapi adalah masalah kita semua, yang harus kita pecahkan dan garap bersama, di mana tiap orang wajib punya sumbangsih dalam kerja pembangunan ini. 

Aku tetap percaya, bahwa dengan bantuan kita semua maka hanya mereka yang lebih banyak bekerja yang berhak akan apa yang biasa dinamai bahagia. 

Dan sebaliknya, tanpa sumbangsih kita bersama, sekalipun nasib akan memberi kita umur dua atau tiga kali lipat dari semestinya, keadaan akan tetap beku, kerana kita semua tidak ikut bekerja memusnahkan sebab-sebab yang mengakibatkan kebekuan ini."

Semalam subuh-subuh pagi lagi, rakan baik yang jauh menitipkan pesan surah Al Baqarah (2):220. Doa saya ayat itu mewakilkan apa yang ingin dilakukan Adik, in shaa Allah.

Saya pernah menukilkan cerita tentang air sebelum ini berjela. Ya saya cinta kasih kepada air sepenuhnya, seperti mana rasa saya pada tanah. Datang kewujudan kita yang tidak dapat dimungkiri adalah dari air, setitis yang seni itulah yang menjadikan kita manusia. Kenapa menidakkan asal usul kita sendiri?

Semoga akhir nanti, Allah menemukan kita semua bersama Nabi di telaga Kautsar, untuk dapat minum dari air yang diberkati.


Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang