Bagai disirami air


Pernah menonton drama Dunia Baru, yang satu masa dahulu ditayangkan oleh TV3. Drama yang dilakonkan oleh ramai pelakon muda menceritakan perihal keadaan baru masuk Universiti. Pagi ini kepala saya diketuk satu perkataan ‘Keberkatan’ dan yang berlegar dalam kepala itu adalah watak yang dilakonkan oleh Khatijah Tan. Beliau dalam drama Dunia Baru adalah ibu kepada Pierre Andre.

Ring a bell? Yup, watak itu diminta untuk sentiasa mengulang perkataan keberkatan dengan mengeja dalam ejaan jawi. Seorang ibu yang berlatar belakang agama dan dilihat begitu warak sekali.

Saya sendirian ketawa. Watak itu juga mendapat kritik yang meluas kerana dilihat tidak relevan untuk mencerminkan seorang yang tunduk beragama.

Baik tinggal dulu, cerita dunia baru ini.

Saya mahu menggali makna ‘keberkatan’ yang faham saya ada turun naiknya. Terus terang saya kadang-kadang skeptik juga dengan Ustaz Ustazah yang mensyarahkan dalam ruang lingkung teori dan sukar sekali kita refleks dalam keadaan semasa. Dan apabila kita menginstitusikan agama, dengan maksud hanya mereka yang berlatar belakang agama dilihat berautoriti untuk menyebut istilah-istilah agama. Dengan maksud mereka yang berpakaian tertentu (dengan code agamawan) dilihat lebih berhak berpesan pada orang lain.

Sungguh, menuju dewasa dan kematangan ini, saya tidak melihat praktik itu di kalangan kebanyakkan Ustaz dan Ustazah. Sekurang-kurangnya di tempat saya. Tetapi lebih dilihat dari mereka yang bersederhana ketrampilan, kadang-kadang berseluar jeans, tidak kurang mereka yang tip top dan outstanding penampilan luaran mereka.

Salah kita kerana faham keberkataan hanya sebagai perkataan tanpa nilai praktiknya. Salah kita kerana mahu memahami dari mulut dan bibir ustaz ustazah tetapi bukan dikutip dari kawan-kawan sekeliling kita.

Kata kawan saya, keberkatan itu maknanya kebaikkan atau manfaat yang berganda-ganda. Istilah orang ekonomi, multiplier effect. Jangan tanya saya dari sudut ekonomi, saya memang bukan ahli.

Saya mengutip makna keberkatan selalu dari rakan hikmah yang hanya baru-baru ini dapat saya dampingi kembali. Sungguh kesibukkan selalu menjadi musuh yang begitu kejam. Dan dalam entri kali ini, walau tanpa perlu hitam putih dalam kertas, saya membuat deklarasi beliau adalah seorang mentor, guru, pembimbing.

Penampilan beliau, jauh dari stigma agama. Tetapi penghayatan beliau untuk menjadikan setiap sesuatu yang diusahakan dalam mencari rezeki penuh keberkatan, sangat mengkagumkan.

Saya selalu tanya beliau tentang masa, bagaimana dengan masa yang sama beliau dapat membuat banyak perkara. Sedang semua orang, termasuk saya diberi Allah jumlah yang sama, tetapi tidak produktif sekali dari segi impak kepada diri, tugasan, jabatan dan masyarakat.

Saya kongsikan tentang beliau, yang sampai sekarang saya tidak dapat menganalisa dari segi logik bagaimana beliau boleh lakukannya. Moga cerita beliau yang dipanjangkan ini, memberi insaf pada saya dan sesiapa di luar sana yang membaca.

Beliau ialah seorang ibu dengan dua orang anak yang masih kecil tanpa pembantu rumah. Di pejabat beliau adalah ketua unit penerbitan yang menerbitkan 7 makalah akademik setahun. Dan dalam tahun-tahun yang khas, menerbitkan 9 makalah setahun. Dalam urusan penerbitan, beliau akan meneliti dari pada A hingga ke bacaan pruf sebelum dicetak. Termasuk terlibat aktif dalam reka letak, design kulit buku dan suntingan bahasa. Setiap tahun samada menjadi Pengerusi atau Timbalan Pengerusi untuk seminar dan konferensi. Kadang-kadang sehingga 2-3 kali dalam setahun yang mana mengambil berat setiap unit dalam menyelesaikan gerak kerja dan masalah. Tidak termasuk berurusan dengan orang luar yang terlalu banyak permintaan dan kerenah. Lebih teruk, beliau tidak dapat pengurangan jam mengajar di mana akan mengajar selama 20-22 jam seminggu. Dengan kerja-kerja penilaian pelajar secara bersambungan sehinggalah pelajar cuti semester. Juga kursus yang perlu dijalani setiap tahun tidak kurang dari 45 jam setahun, tetapi selalu beliau dapat lengkapkan dengan nilai lebih dari 100 jam. Tidak kira semua kertas kerja akademik yang tetap akan ditulis, sekurang-kurangnya 3 judul setahun. Juga kajian lapangan untuk melengkapkan kertas kerja akademik tersebut. On top of that, yang menyebabkan saya angkat topi dan analisa logik saya terhadap penggunaan masa menjadi berantakan, beliau juga sedang belajar di peringkat Kedoktoran dan berjaya menyelesaikan dalam masa yang ditetapkan. Dilakukan dalam tempoh 5 tahun secara separuh masa.

Believe it or not? Just believe it, kerana saya sanggup menjadi saksi.

Logik? Saya katakan pada beliau ia tidak logik. Bagaimana pun saya mahu menganalisa, ia tidak masuk dalam kesimpulan yang normal pada manusia biasa, melainkan beliau mempunyai kuasa melentur masa. Atau kadang kala saya berselorah, melainkan beliau menyimpan ‘hantu raya’.

Kami gelak dengan kuat. Yang akhir itu tentu kelakar untuk mengendur serius berbual.

Di sini ahli hikmah saya membuka rahsia, atau lebih tepatnya berbincang kemungkinan-kemungkinan yang ada. Kerana pada masa beliau melakukan semua perkara di atas, saya memang ada di dalam unit penerbitan dan terkena tempias dengan semua kesibukkan. Tinggal lagi saya punya semua waktu yang saya mahu termasuk bekerja sehingga ke 3-4 pagi kerana tiada komitmen di rumah.

Kami bermuhasabah. Dalam hal-hal seperti ini logik normal kehidupan mungkin not applicable, tetapi kita perlu mengkajinya dari logik dimensi Tuhan.

Kata beliau, “mungkin dalam tempoh tersebut Tuhan memanjangkan masa untuk kita. Pada masa dahulu satu jam untuk kita dirasakan terlalu panjang. Sebab itu kita boleh membuat kerja dengan selesa tanpa rasa dihambat waktu.”

Saya menyambung, “sekarang walau kita rasa bebas tidak dibebankan dengan urusan penerbitan segala hal, masa itu dirasakan begitu cepat berlalu.”

Beliau mengangguk setuju.

Keberkatan begitu Allah membalasnya. Kadangkala kita tidak pernah terfikir kerana kita tidak pernah berhenti dan bermuhasabah. Dalam kes ini, keberkatan berlaku seolah-olah masa dilenturkan. Perlahan, mengikut rentak dan sebagaimana yang dimahukan.

Tetapi saya mendapat rahsia lebih dari itu, ia terletak juga dengan keikhlasan. Sepanjang tempoh kesibukkan itu, saya tidak pernah mendengar beliau mengadu kelelahan, dan tidak pernah sehari melihat beliau keletihan. Meski banyak kali beliau rebah sehingga perlu disuntik doktor akibat demam.

Begitu pelajaran keberkatan yang saya dapat. Dan kesempatan yang saya dapat dari Jengka menuju ke Gambang tempoh hari, saya dapat simpulkan semua logik saya yang telah pecah berantakkan sebelum ini. Saya susun menjadi logik dalam dimensi Tuhan.

Walaupun beliau tidak dimahsyurkan, atau di popularkan, atau diangkat ke tempat yang layak dengan segala pencapaian dan khidmat yang dilakukan demi kebaikkan orang lain, beliau tetap sahaja bersyukur dan tidak kisah.

Saya juga mengkagumi beliau yang ini. Kerana mungkin kami sama-sama tahu, pengiktirafan itu tidak akan selamanya lebih baik dibalas melainkan oleh, Yang Maha Pembalas.

Keberkatan bukan seperti mana yang dilakonkan oleh Khatijah Tan dalam Dunia Baru, yang sering diulang-ulang sebut sekali dengan ejaan jawi. Kita boleh faham maknanya meski dalam tulisan Rumi malah dalam English sekalipun. Kerana ia bukan kata, ia adalah dimaknakan dengan praktik dan perbuatan.

Keberkatan juga tidak semestinya untuk sesuatu perkara yang besar dalam hidup kita. Kadangkala kita risau membeli barang untuk dihadiahkan pada keluarga, sangka kita sudah banyak tetapi bila dilihat di tangan selesai membayar, sedikit sekali. Tetapi bila sampai di rumah, dan dihadiahkan pada mereka, masyaAllah, bagai tidak habis. Juga boleh datang dari perbuatan paling simple, seperti senyuman ikhlas.

KEBERKATAN seperti itu, dan saya dapat lihat hidup saya lebih keberkatannya kerana sudi dibuat kawan oleh ahli hikmah ini.

Pokok pangkalnya, berjujur dengan tanggungjawab dan amanah, termasuk hak pada Allah untuk ditunaikan dan kata kunci yang tersimpan kukuh, IKHLAS lah dalam memberi. Ikhlaslah dalam mengajari. Ikhlaslah dalam bersahabat. Ikhlaslah dalam kesetiaan. Ikhlaslah dalam melakukan amal dan kebajikan. Ikhlaslah dalam berjuang. Ikhlaslah dalam menengakkan keadilan. Ikhlaslah dalam segala hal, termasuk dalam senyum dan doa kamu.  

Allah akan membalasnya saya yakin dan pasti. Ia tidak semestinya dibalas balik serupa yang kita lakukan, tetapi dengan perkara yang paling kita perlu dan suka. Apa dia? Jangan bertanya-tanya, serahkan sahaja pada Allah. Dia Maha Tahu, kerana Dia Pencipta kita.

Seperti semalam saya mendapat ucapan terima kasih dalam email untuk entri-entri lewat kebelakangan ini. Kata si penulis email, membaca WadiKita “macam kena siram…sejuk.”

MasyaAllah, barakallah pada yang menulis. Puji-pujian itu tentu kepada si Pemilik segala Puji, Allah yang mahu menggembirakan saya dengan perkataan yang ikhlas itu.

Si penulis email tidak tahu, bahkan kata-kata beliaulah yang menyegarkan Wadikita, ‘bagai disirami air.’

Maha Suci Tuhan, yang menciptakan KEBERKATAN, yang berpapasan dalam hidup kita, selalu dalam kita tidak pernah sedar pun. Terima kasih Allah!

Moga kita menjumpai berkat dalam setiap langkah dan nafas kita dibumi ini.

Comments

qaf-ba-ra'-qaf-ta-alif-nun

keberrrrkataannnn!

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah