Ramadhan Ini

Ramadhan ini tiba dengan seribu pengertian baru. Betapa selama ini, aku digelapkan dengan pandangan mata. Aku mohon padaMu Ya Allah, agar Kau sudi menghadiahkanku pengertian baru dan pandangan baru. Untukku melihat dengan mata hati yang selama ini dibutakan dengan nafsuku yang melulu.

Allah.

Angin Ramadhan ini telah membuatku berjanji, untuk kembali membaca utusan surat CintaMu dengan penuh kesungguhan. Aku tidak pernah tahu lembaran yang Kau utuskan lama dulu, lebih 1400 tahun, lebih dahulu dari kelahiranku adalah bukti Engkau Cinta padaKu. Sebagai bukti Kau tidak pernah meninggalkanku meski sebelum aku menghirup nafas di bumi.

Ramadhan ini telah Kau buatku sedar, bahawa dengan hanya percaya Engkau akan jelmakan DiriMu dekat. Maafkanku Allah dengan keraguanku. Maafkanku Allah dengan kejahilanku. Maafkanku Allah kerana tidak percaya Engkaulah yang akan menuntunku.

Ya Allah, aku selalu lupa, maka ingatkanlah.

Ramadhan ini, buatku percaya, sifatMu sebagai Rabb bukan semata perlu dibaca sebagai Tuhan Yang Mentadbir seluruh alam. Ia adalah lebih patut ditafsirkan sebagai Rabb, Tuhan Yang Mendidik. Selama ini dalam kesesatanku yang nyata yang sesuai dianugerahkan dengan murka, telah Kau lepaskan dengan sifatMu yang Al Hilm. Lalu dengan wajah manakah akan ku hadap padaMu memohon pengampunan dan belas kasihan?

Wahai Tuhan,
Jauhkan keraguan, kerana Kau telah perkenan untuk kusampai pada Ramadhan ini. Tidak kudoakan untuk yang terakhir, kerana aku baru belajar menikmati pemberian, aku baru belajar mensyukuri, dan aku baru belajar untuk menjadi penyaksi. Ya Allah, ajari daku Ya Allah. Sebagaimana Kau tidak pernah meninggalkanku sebelum ini, jangan tinggalkan setelah aku dapat melihat, mendengar, mensyukuri sesuai dengan kehendakMu.

Ya Allah,
Ramadhan ini adalah pemberian, Al Quran juga pemberian, Rasulullah juga pemberian, tanda kasih sayang tanpa batas. Bukakan hatiku menerima, dengan sebenar-benar penerimaan. Jangan jadikanku tergolongan hambaMu yang tidak tahu berterima kasih dan mensyukuri dengan kesedaran penuh tulus dari hati. 

Demi NamaMu dengan penuh kemuliaan,
Jadikanlah Ramadhan ini bulan yang mendidik. Lembutkan hati dan jiwaku. Semoga akhir nanti, akhir nanti, bila tidak dapat berbuat apa-apa dan selimut yang ada hanyalah tanah dan bumi,

Kau,

Redha padaku.

Ramadhan ini, terimalah daku yang berserah pasrah.

Comments

Runtuh hati bila dibaca dan dihayati.

Tahniah, menyentuh dan insaf
Hidayah said…
Masyaallah, baru semalam dengar Mufti Menk dalam kereta bercerita tentang Rabb dan makna sebenar Rabb. Bukan sekadar pencipta tapi pendidik, pemberi rezeki, penjaga, pengawal...

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah