Nasihat

Nasihat, bentuknya sangat baik tetapi ia sangat bergantung kepada penerima. Adakala kita menolak untuk mendengar nasihat, atas banyak sebab. Tetapi antara sebab yang saya dapat kenal pasti adalah kerana ego. Selalu kita merasakan yang kita lebih baik dari orang lain, kerana itu kita merasakan mereka tidak berhak untuk menasihat.

Begitu juga dengan anak muda yang saya berkesempatan berbicara panjang. Sebelum dia meninggalkan kami di sini atas tujuan untuk mengejar cita-cita yang dekat di hatinya.

"Saya seorang yang panas baran. Jadi saya sukar mendengar nasihat."

"Simpan sahaja panas baran awak itu, ia tidak akan membawa kita ke mana-mana."

Dia senyum. Dia masih mahu menyimpan baran. Saya tahu dia muda, dan ketika saya di tempatnya juga mempunyai sikap yang sama.

"Bila awak perhatikan baik-baik, orang yang berani memberi nasihat dan tunjukkan jalan yang betul, ialah mereka yang sayang pada kita."

Anak muda ini mengangguk kemudian mengerutkan dahi. Susah mahu menerima saranan saya agaknya.

"Satu hari nanti awak akan tahu. Bila awak berada di tempat saya, siapa yang akan memberi nasihat? Nul. Hampir tiada. Tetapi nasib hidup saya berbeza, tetap akan ada orang datang dan beri nasihat, walaupun kita nampak seolah mereka sedang memarahi/perli kita kaw-kaw punya."

"Kalau keadaan macam ini berlaku, macamana mahu bereaksi?"

"Setiap kali kena macam tu, meski di tengah audien yang ramai, saya akan senyum. Dalam hati saya akan kata macam ini, 'Kalau ya pun sayang pada saya, tak payah la nak buat announcement'. Hati awak akan jadi lebih gembira."

"Boleh ke buat macam tu?"

"Hakikatnya memang seperti itu. Awak marah pada nasihat itu persepsi. Awak berlapang dada pada nasihat yang diberi juga persepsi. Kitalah akhirnya yang memilih."

"Dengarlah dengan hati terbuka, kita akan jadi lebih sihat. Mungkin sebab tu dalam perkataan nasihat ada kata SIHAT."

Comments

Cikli said…
A good advice that you just didn't take... Antara ironic yang dilistkan oleh Alanis Morisette

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang