Memaknakan semula erti memberi

Minggu lepas yang lalu, Teach for the Needs (TfTN) telah memberi saya peluang meneroka ruang baru. Saya diberi ruang oleh mereka yang berhati nurani untuk bersama-sama mereka memperkenalkan program tusyen percuma untuk anak-anak yang tidak bernasib baik. Berada di tengah sekelompok yang percaya bahawa peluang itu patut diberi samarata, tidak kira miskin atau kaya, telah memaknakan semula erti memberi.

Duta-duta kami adalah guru-guru yang mewakafkan sebahagian dari masa untuk mengajar mereka di kelas corot dan tidak berkemampuan untuk berada di kelas tusyen. Lebih membanggakan pelatih guru yang belum lagi bergraduasi, tetapi sudah tahu mahu berperanan di mana. Mereka ini pergi ke rumah anak yatim dan juga mewakafkan masa mereka untuk mengajar.

Saya? Saya cuma kumpulan sokongan yang begitu terharu dengan pengorbanan yang sanggup mereka lakukan.

Kami membuka booth di pameran KL Alternative Books yang bertempat di Annexe (sebelah Pasar Seni, Kuala Lumpur) memperkenalkan TfTN pada massa. Satu program yang menyeronokkan kerana inilah pertama kali kami, kumpulan sokongan dipertemukan empat mata dengan duta-duta pengajar di seluruh Malaysia dan juga sukarelawan.

Aneh. Kami bertemu hanya di Facebook, tetapi di KLAB kami menjadi keluarga! Subhanallah.

Banyak cerita yang ada mungkin dapat dikongsikan dalam ruang yang lain, insyaAllah, doakan.

Tetapi yang paling mengujakan saya bila Allah pertemukan kami dengan seorang pengidap Dyslexia yang sekarang sudah menjadi seorang arkitek yang berjaya. Allah. Sungguh mencengangkan pertemuan ini, kerana baru berbincang tentang masalah keciciran, autisme dan dyslexia, kami dipertemukan dengan orangnya. Malah berjaya melepasi masalah dan menyumbang pada negara!

Membuka booth bukan semudah yang disangka. Lebih-lebih lagi untuk dua hari, melepaskan santai hujung minggu. Tetapi duta-duta ini telah membuat hati saya basah dengan kesungguhan mereka.

Kata mereka balasan untuk mereka adalah apa yang dipamerkan oleh anak-anak tercicir ini. Antara lain "Cikgu kenapa Cikgu lambat, mari kita mulakan kelas." Ada yang cuba membaca bersungguh-sungguh meski mereka tidak tahu bagaimana. Ada yang Cikgu mereka terpaksa batalkan kelas, mengetuk pintu kelas Cikgu lain mohon untuk diajari. Dan mereka tidak kisah meski terpaksa menulis di atas lantai.

Saya mengutip kata-kata dari rakan yang diambil dari Gandhi, "seven things spoil rights: politics without principles, pleasure without conscience, wealth without work, knowledge without values, commerce without morality, science without humanity and worship without sacrifice."

Mereka mengajari saya memaknakan semula erti memberi. Yang ingin mereka hantarkan ialah, ilmu yang sebenar adalah dengan nilai. Nilai itu bukan untuk dibahaskan, dicaknakan dengan wacana akademik. Nilai itu yang telah memakna dalam diri, dan makna itu dipersembahkan dengan tindakan.

Mewakafkan waktu itu mahal harganya, seperti mana yang telah dirintis oleh Badiuzzaman Said Nursi.

Allah, lambat betul saya belajar. Moga saya tidak terlambat.

Bersama kami, di TfTN, sedikit pun menyumbang. Dengan doa kalian, kami akan terus berbakti insyaAllah.



Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah