Jangan takut susah-2

Siapa yang tidak lelah? Mungkin orang yang sangat kaya yang tidak mempunyai masalah apa pun. Satu masa saya jeritkan juga segala tekanan yang ada. Tetapi untuk kawan-kawan sahaja yang mendengar. Ya, jeritkan pada sistem, siapa kita untuk melawan apatah lagi duduk dan bantah.

Satu hari ketika mentor yang paling saya hormati datang, saya mulakan penceritaan lelah saya. "Saya penat Prof untuk buat segala serbi". Saja jejerkan apa yang terbuku dan yang berat di bahu.

Prof memandang saya penuh terhibur. Agaknya. Si kecil ini masih lagi anak kecil tidak kira sepuluh tahun lalu, atau masa sekarang ini. Prof memandang saya penuh minat dan kemudian bersuara, "apalah yang disibukkan sangat oleh Asal ini."

Noktah.

Saya tahu muka saya diserbu merah. Saya kehilangan kata. Pengaduan tidak memberi apa-apa makna pun. Malu. Yup, saya malu kerana mengadu. Baru saya teringat cerita beliau yang berkhemah di lereng bukit untuk mencerap data dan masuk ke kampung untuk mencari pisang goreng sebagai alas perut!

Saya kenal Prof dulu hanya seorang En. Dalam tempoh hanya sepuluh tahun, beliau sudah mengumpul turutan gelar di depan nama, Profesor, Sr. Ir. Dr. dan tentu Haji. Hanya sahaja negara tidak mengenali jasa beliau kurnian Dato/Tan Sri belum diberi lagi. Dan beliau masih lagi relatif muda.

Model Ulul Albab kalau saya mahu bercerita adalah dia, bukan orang lain.

Walaupun Prof tidak bercerita, saya tahu antara formula kejayaan ialah, jangan takut susah. Kerana sepanjang masa bergelut dengan kesusahan, beliau tidak pernah tahu pun apa itu senang, apa itu senggang. Celah masa beliau adalah membaca. Sirf. Sibuk macamana pun, pasti ada ruang untuk membaca, pasti ada ruang untuk melatih orang lain.

Apa pun polisi yang beliau akan kuatkuasakan, Prof akan jadi pendahulu. Si perintis jalan. The pioneer. Jadi susah itu Prof yang akan rasai dahulu. 

Insaf. Saya selalu insaf kalau dapat berjumpa Prof. Tinggal lagi saya tahu belum begitu kuat. Tinggal lagi kerana sudah lama berada dalam zon selamat, untuk mengharungi onak dan duri bukan lagi pilihan.  

Astaghfirullah.

Satu hari saya membayangkan berjumpa Rasulullah, dengan air mata yang berjurai cerita segala kepahitan dan segala duka lara. Saya tahu Rasulullah akan memujuk dan mengamankan jiwa, tetapi tegarkah untuk saya mengadu. Kesusahan yang manakah yang dialami melebihi apa yang dirasa Nabi?

Kita masih belum perlu mengikat perut dengan tali dan batu guna untuk menahan lapar. Kita masih belum merasa darah mengalir dari asakan musuh di medan perang. Juga tidak perlu berjemur di tengah padang pasir untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah, merasa dimusuhi lawan dan dikhianati kawan.

Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang,

"Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?"

"Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar."

"Ya Rasulullah, mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit." Desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar baginda. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?"

Lalu baginda menjawab dengan lembut, "Tidak sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi nanti, apakah akan aku jawab di hadapan Allah nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?"

"Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak".

Susah itu sunnah. Bukan untuk ditakuti tapi untuk mempelajari. Ia tidak melemahkan sesiapa malah mengajar untuk lebih kuat untuk kebaikkan sejagat. Kata Nabi, ia adalah hadiah yang boleh kita persembahkan kepada ALLAH. 

Rasulullah pasti akan memujuk dengan mengucapkan kata-kata supaya bersabar. Dan kemudian menyiram jiwa dengan semangat jihad, sehingga akhir nanti kami akan bertemu di telaga Haud.

(Cerita dipetik dari laman muka buku dan gambar dari Al Miskeenah)

Comments

Cikli said…
Kadang-kadang bukan mengadu, sekadar luahan perasaan, macam gunung berapi jugak perlu keluarkan lahar yang panas.

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang