Sedetik Lebih


i.
Kita terlalu banyak dibebankan dengan tugasan pejabat. Pada masa yang sama tidak boleh ambil mudah apa yang perlu diselesaikan di rumah. Sekarang, kedua-duanya telah menjadi tugas hakiki.

Tetapi ada waktu-waktu yang kita mahu masa sendiri, untuk buat apa yang kita suka buat. Jarang sekali dapat kan?

Jika jadi macam ini, selalu saya berdoa agar saya diberi lebih masa. Sedetik lebih dari orang lain. Sebab saya terlalu rindu untuk punya masa untuk membaca. Salahkah saya berdoa demikian?

Memang salah. Sebab aturan dunia ini tetap, tidak akan ada perubahan sehingga hari kiamat. Kalau 24 jam yang Allah bagi, itu sahaja. Tiada istilah lebih masa, atau sedetik lebih.

Untuk itu saya ubah doa. Kali ini saya mohon untuk diberi keberkatan pada masa. Keberkatan kepada tenaga. Keberkatan pada fokus dan tumpuan. Supaya tugas-tugas pejabat, tugas di rumah dapat diselesaikan dengan pantas. Kemudian selepas itu saya akan dapat masa untuk membaca.

Alhamdulillah. Ia memang boleh berlaku. Allah menolong mereka yang benar-benar ikhlas. Jika sedetik lebih yang kita minta adalah untukNya, demi Dia.

ii.
Saya suka lagu Hijau Zainal Abidin. Selalu suka. Ia mengingatkan tentang alam sekitar yang sering kita lupakan. Kerana alam berada di bawah tapak kaki kita. Yang kita rasa kita punya hak untuk eksploitasi tanpa rasa bersalah, lagilah berdosa. Kerana itu biarkan semua sisa ditanah kita. Biarkan, biarkan.

Kata kebanyakkan manusia, kita telah dilantik menjadi khalifah. Semua telah dibuat untuk tunduk dan berkhidmat demi insan. Semua makhluk lain adalah letakkan lebih rendah bukan lebih tinggi. Untuk apa kalau kita tidak reti mengguna.

Khalifah bukan bersifat mutlak. Boleh berbuat sesuka hati. Syaratnya tunduk pada term and condition yang telah disediakan Yang Maha Mencipta. Namun sifat manusia suka melampaui batas, kerana itu kita tidak pernah rasa bersalah untuk merosak alam.

Firman Al Quran, "telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)" - Surah 30 Ayat 41.

Bencana buruk sudah merata berlaku di seluruh dunia. Di Jepun, Pakistan, Acheh, Turkey, Amerika Syarikat, Sudan, Afrika, semua. Kita telah merasakan sakitnya ditimpa bencana, kata mereka Tuhan tidak ada. Jika ada Dia tidak akan menimpakan kita dengan kesengsaraan. Bahkan kitalah yang mengundang segala ketidak stabilan alam, dengan tangan sendiri.

Yang menakjubkan, kita tidak kembali. Kita masih tidak insaf dan bertaubat.

Sekarang, masanya sudah pun terlambat. Alam tidak lagi berbicara dengan manusia. Kita tidak boleh lagi meramal bagaimana trend cuaca. Ia telah terlalu menjadi caca merba. Dan menjadikan kita tidak tentu hala.

Satu hari kita akan menadah tangan untuk meminta sedetik lebih untuk masa, agar kita boleh membetulkan keadaan. Tetapi percayalah, sedetik lebih itu tidak pernah ada. Yang tinggal hanyalah hari ini, untuk membetulkan semua.

Comments

Cikli said…
kawan saya kata, carilah masa di celah-celah masa. kita akan dapat lebih drpd 24 jam sehari.

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang