Di dearah tanpa harapan

i.

Dia ibu. Seorang isteri kepada wakil rakyat. Punya anak yang dimasukkan ke pengajian tinggi. Tetapi anak itu dilimpahi kemewahan yang banyak langsung tidak peduli apa-apa. Tidak mahu masuk kuliah, tidak mahu menduduki ujian, tidak mahu ulangkaji. Pendek kata semua.

Lagi dua minggu masuk musim peperiksaan. Tapi anak entah kemana-mana. Sang Ibu menyewa hotel selama dua minggu duduk berdekatan universiti. Hari Ahad cuti, Ibu menelefon pendidik, mohon untuk dibukakan pintu pejabat. Niat satu, supaya anak mendapat kembali pelajaran yang tidak dapat. Ada pendidik yang bersanggupan, ada pendidik yang merasakan ia agak keterlaluan.

Pendidik yang baik membuka pintu di hari Ahad walaupun hakikatnya bercuti. Penuh besar jiwa dan harapan Sang Ibu membawa bersama anaknya untuk menimba kembali ilmu. Mereka pun duduk berhadapan. Minta supaya diberi panduan dan latihan. Tetapi anak masih tidak acuh. Apa-apa yang penting tidak dicatat. Akhirnya, Sang Ibu yang bersusah payah mencatat segala isi penting.

Anak, masih tidak peduli. Dua minggu Ibu datang menemani untuk mengubah sikap, cuma beri anak kegembiraan lain. Anak guna kereta sport ibu untuk dibawa kesana kemari dan ditayang pada orang.

(pelajar tersebut di akhirnya tetap gagal dalam banyak matapelajaran. Kekayaan tidak pernah dapat membeli kesungguhan dan kesedaran.)

ii.

Seorang pelajar belajar di Mesir pulang bercuti. Namun malang menimpa. Kad pengenalan telah dengan tidak sengaja hilang. Lalu dia perlu membuat laporan di balai polis. Kerana sudah terlalu lama tidak berada dalam negara, pelajar ini sudah banyak tidak tahu apa yang berlaku di Malaysia.

Pelajar pergi ke balai polis untuk menguruskan aduan tentang kehilangan. Polis mengatakan bahawa proses ini lambat. Pelajar tidak dapat menunggu kerana dia masih perlu pulang ke Mesir dalam masa terdekat. Kata pegawai, “kalau hendak cepat boleh, tetapi kenalah bagi duit kopi.”

Pelajar pun menjawab, “oh, kalau macam itu bolehlah.” Si polos ini pun mahu menghulur. Tapi kata pegawai, letakkan di bawah kertas. Dia pun membuat seperti disuruh.

Selesai berurusan pelajar pulang ke rumah dan bercerita pada kakak. Kata adik, “mahal betullah air kopi kat Malaysia ni kak, di Mesir tidak begitu.”

Si kakak yang meruap rasa marah cepat-cepat mengajak kembali ke balai untuk ditunjukkan siapa yang telah melakukan onar kepada seorang pelajar. Si adik bersetuju. Lalu mereka pun tergesa-gesa mahu keluar. Adik masih lagi tidak puas hati bercerita, “itulah punyalah lama tunggu lepas bagi duit kopi tu dan laporan. Tapi kenapa pegawai tu tak bagi duit baki.”

Kakak hairan. Bolehkah duit yang diserah di jalan bawah itu punya baki.

Kakak berhenti kemudian bertanya, “duit baki? Berapa banyak kau bagi pegawai tu?”

“Seringgit. Tapi kopi kan 80 sen je. Kenapa dia tak mau pulangkan lagi 20 sen?”

Si kakak dalam merah marah, jadi merah menggelakkan adik yang polos.

iii.

Kawan percaya bahawa motivasi tidak perlu dari luar. Untuk seseorang itu mempunyai motivasi yang kuat, ia mesti bermula dari dalam. Bagi semua pelajar yang tiada harapan, kita hanya perlu menunggu sesuatu yang berlaku dalam kehidupan mereka. Yang besar-besar seperti batu yang menghempap kepala baru mereka sedar dari lupa.

Satu hari beliau bercerita.

Seorang pelajar yang super genius tapi super malas juga. Setiap kali ada kelas pagi dia tidak akan datang. Kalau pendidik bertanya kawan-kawan akan tolong menjawab, “dia ada kelas TDR 400.”

“TDR 400, tu kursus apa?” tanya saya.

“TIdur 4 jam.”

Saya gelak kerana baharu tahu.

Kata kawan, pelajar ini memang begitu sifatnya. Sia-sia sahaja bercakap atau marah-marah. Dia tetap tidak akan peduli apa. Sehinggalah satu hari berita besar sampai. Ayah pelajar meninggal dunia.

“Owh, lepas tu dia ada kesadaranlah?”

“Tidak juga. Masih juga begitu walau dia anak sulung yang lelaki.”

Saya masih menunggu cerita.

“Kemudian tiba-tiba satu hari, pelajar datang ke bilik. Waktu itu tinggal seminggu lagi akan masuk musim peperiksaan. Pelajar minta supaya disediakan latihan tambahan untuk beliau selesaikan. Walau masih banyak ragu-ragu beri jugalah. Sehari dua pelajar datang kembali dengan seinci latihan yang telah diselesaikan. Pelajar minta supaya disemak dan beri lagi latihan.”

“Pelik juga. Kata lepas ayah dia meninggal tidak jadi apa pun.”

“Betul. Memang pelik. Jadi tanya dia apa yang jadi pada awak ni?”

“Dia pun bercerita. Puan, saya tidak pernah tahu betapa tanggungjawab sebagai lelaki itu sangat besar. Walaupun Ayah saya meninggal, saya tidak pernah rasa apa. Sebab ibu saya masih ada untuk ambil berat tentang semua benda. Sehinggalah satu hari saya diminta ibu dan kakak untuk mewalikan kakak di hari perkahwinannya. Ini tugas lelaki. Ibu saya tidak akan dapat mengganti. Ya Allah. Bila dapat tahu berita tu, baru saya tersedar. Baru rasa tanggungjawab tu terletak kat bahu kiri dan kanan. Subhanallah. Berat betul tanggungjawab sebagai seorang lelaki. Ketika saya menyambut tangan kadi dalam hati penuh air mata. Kalaulah Ayah masih ada.”

Saya membulatkan mata tidak percaya. Begitu tragedi boleh sahaja berlangsung sekelip mata bagi mereka yang Allah pilih.

iv.

Seorang kawan yang saya kagumi pendiriannya pula bercerita. Dia punya syarat aneh-aneh untuk terus berada dalam kelas. Contoh syarat yang aneh itu ialah, siapa yang tidak bersolat tidak boleh berada dalam kelas sehinggalah mereka selesai menunaikan tanggungjawab. Logik dia amat mudah, “kalau awak berani untuk melanggar perintah Allah, apatah lagi arahan saya.”

Saya senyum mendengar. Hanya mereka yang punya kekuatan jiwa dan percaya padu pada Allah sahaja akan berani berkata yang hak dalam dunia tanpa harapan seperti hari ini.

Satu hari beliau masih melakukan peraturan yang sama. Tetapi walaupun begitu, dia masih tahu apa pun yang dia lakukan, bagi mereka yang hidup di zaman ini hanya menganggap ia ugutan yang tidak perlu ambil serius. Tetapi dia tetap juga bersuara.

Pagi itu pagi Jumaat. Kelas bermula pukul 8. Dia pun menyampai pesan dengan nada yang begitu serius.

“Ok, kita akan mula kelas sekejap lagi. Tapi, siapa yang tidak bersolat Subuh lagi tolong keluar ya dan solat di surau atas. Tidak mengapa, kita akan tunggu selama 5 minit.” Dia tidak pernah menyangka apa-apa. Sangka dia, kalau pun ada yang belum lagi bersolat pasti tidak akan mahu mengaku pun.

Tiba-tiba 3 orang pelajar bangun. Salah seorang daripada 3 orang itu baru sahaja pulang dari mengerjakan Umrah dua minggu yang lepas. Mata kawan terbuntang tidak percaya, her jaw dropped.

Saya mendengar pun tidak percaya. Tetapi dapat tahu ada 3 orang berani mengaku bila ditunjukki salah, bangun di hadapan ramai meski malu akan menyerbu, kemudian melangkah keluar untuk benar-benar mendirikan solah dan kembali menadah telinga untuk mendengar ilmu, adalah lebih tidak percaya di minda saya.

Subhanallah.

Di daerah tanpa harapan, masih tetap ada kasih sayang Tuhan yang terjelma dari banyak bentuk dan rupa.

Comments

Cikli said…
cerita cerita yang menjadikan kita berfikir panjang.
ASaL said…
ya, aneh-aneh semuanya.

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang

17 Ramadan 1435 Hijrah