Pod: Manusia dalam Selimut

Sewaktu tergila-gilakan gajet, iPod digolongkan sebagai salah satu item wajib beli. Oleh kerana hidup sebagai orang biasa sentiasa berada dalam kekurangan, iPod jatuh ke kategori barang mewah. Sehinggalah mendapat kesedaran bahawa 'excitement' hanya berlaku ketika barang itu belum diperolehi. Tetapi apabila sudah dapat, ia menjadi barang biasa. Serinya sudah hilang. Mujur kesedaran itu cepat datang, lebih cepat daripada tangan yang gatal untuk mengeluarkan wang hanya semata untuk mendengar ribuan lagu dalam stor simpanan maya.
Tetapi tidak begitu sukar untuk memilikinya sekarang. Harga iPod juga sudah jatuh ke tahap mampu milik. Jika tidak mampu mendapatkan iPod jenama Apple yang super mahal, banyak lagi alat yang sama fungsi dijual dengan harga murah. Juga applikasi pod ada dibina dalam telefon bimbit.

Untuk generasi sekarang, alat ini wajib ada untuk dibuat peneman. Ketika tidur, ketika 'melabur', membaca, membuat kerja rumah, memasak, melayari internet, jogging, ketika peperiksaan, menunggu kenderaan, dalam bas, dalam perjalanan, pendek kata segalanya. Malah kadangkala ketika cikgu dan pensyarah bercakap dihadapan, mereka mahu menyumbat fon telinga supaya suara cikgu diiringi irama melankolik. Atau untuk membolehkan suara cikgu lenyap terus tidak didengar. Yang tinggal hanya mulut yang terkumat kamit.

iPod direkabentuk dengan sangat menarik. Kecil, mesra pengguna, trendy, ruang simpan yang besar, pelbagai guna. Ianya bukan sekadar menawarkan hiburan, tetapi hakikat sebenar penciptaan gajet ini adalah untuk menyelimutkan pengguna dalam 'cengkerang'. Cengkerang virtual.
Penamaan gajet ini sebagai pod bukan kebetulan. Pod dalam kosa kata yang lebih mudah ialah shell, husk, peapod ataupun case. Dalam bahasa Malaysia ia diertikan sebagai cengkerang, sarung dan bekas. Cuma kita yang tidak biasa menggunakan perkataan pod untuk memaksudkan case/shell ketika menulis esei atau artikel dalam English. Lalu kebanyakkan kita menganggapnya sebagai satu nama khas dicipta untuk produk baru. Malah ia dilihat sangat sensasi untuk diguna pakai generasi semasa. Dan untuk menjadikan diri sendiri juga semasa, iPod mesti ada di dalam kocek, dipergelangan tangan atau beg galas. Baru kita dilihat dapat bercakap dengan bahasa mereka.

Namun bila memerhati dengan dekat penyanjung pod, kita memang melihat mereka seperti hidup dalam cengkerang. Bila pod dimainkan, yang ada pada mereka hanya ada 2. Diri dan pod. Yang lain hilang dan lenyap terus. Seolah-olah sebuah kapsul virtual sedang menyungkup mereka kedap tanpa dapat ditembus oleh sesiapa atau apa juga benda, walau apa juga yang sedang terjadi diluar sana. Lekas menjadikan mereka manusia yang tidak peduli. Kita sebagai orang luar yang memerhati pula, benar-benar melihat mereka seperti cengkerang. Sebuah cengkerang yang tiada isi. Fizikal mereka ada disisi, tetapi diri mereka hilang entah kemana. Seperti cengkerang-cengkerang yang dijumpai di pantai, seperti itulah mereka.

Mereka sedang diselimut, tetapi bukan gebar yang sama menyelimuti Nabi dalam surah Al Muzammil. Selimut mereka bukan memberi aman, tetapi membazirkan zaman. Jangan susah-susah membacakan surah Al Muzammil, kerana selimut mereka kedap tidak lut apa-apa. Mereka sendiri telah menjadi cengkerang, zahir hadir tetapi batin ghaib ke alam lain.
(p/s: entri disiapkan hasil dari pencerahan mendengar kuliah-kuliah inteligen dari Sh. Hamza Yusuf, Direktor Kolej Zaytuna, USA. Moga Allah memberkati Sh. dengan ilmu yang bermanfaat untuk dikongsi ummat.)

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang