Ermm

"Kamu percaya Tuhan kan, seperti mana Tuhan itu untuk kamu?".

Saya menjeling sepintas. Tidak mahu mengganggu bual. Jarang anak muda seperti mereka mahu berbicara soal ini, semasa keluar berhibur. Ketika sedang menunggu tren komuter di bangku menunggu, yang selalu mereka akan buat ialah dengan menekuni telefon bimbit, PSP atau iPod masing-masing.

"Ermm...", yang hendak menjawab hanya bergumam, seakan sedang rancak berfikir. Dia belum ada jawapan. Saya menatap terus netbook sambil telinga makin aktif mendengar.

"Ermm seperti, nanti dulu, kamu biasa naik LRT bukan ?"

Teman seorang lagi mengangguk. Mukanya sinis tidak percaya soalan itu yang keluar.

"Pernah lihat tali yang bergayut di rel besi di dalam LRT guna untuk membantu penumpang yang sedang berdiri?"

"Soalan apa ini? Takkan aku tidak pernah lihat, dah tentu kena guna selalu. LRT untuk waktu-waktu genting seperti berada di dalam tin sardin".

"Bayangkan kita bersesak-sesak berhimpit di depan pintu masuk. Waktu tu bahu kita menggalas beg sandang, tangan memegang barang dan tempat berpalang besi sudah pun dihuni orang. Pada waktu itu kita perlu bergantung pada daya imbangan diri. Kita lihat tali itu tergantung di situ, berharap tidak ada orang yang memegang. Tiba-tiba LRT berada di selekoh paling runcing, daya imbangan goyah dan pada masa itu..."

"Pada masa itu kau akan segera memegang tali penyangkut itu supaya tidak jatuh dan membuat orang lain marah".

"Betul. Tuhan seperti tali itu".

Yang seorang tadi pecah tawa.

"Kenapa ketawa?"

"Tidak pernah aku dengar orang menyamakan Tuhan dengan tali".

"Bukan, kau salah faham. Maksudnya, bila kau berada di tempat paling kritikal dan susah, kau ada tempat bergantung".

"Tapi kalau kau tidak susah, sudah tentu kau tidak akan ingat Tuhan kan?".

"Itu pun salah faham yang lain. Walau LRT lengang, tali itu tetap ada di situ. Waktu susah atau senang tetap ada".

"Tapi kenapa tali?"

"Sebab aku kena terangkan pada orang macam kau, yang selalu tidak mahu nampak walau dalam terang lagi nyata".




Ermm. Tali?







Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang