Simpai Keramat - Rindu Kamu

Masjid Nabawi - diambil dari arah Baqi'
(disuatu petang yang syahdu)

Tahu apa Simpai Keramat? Simpai Keramat bukan khusus mereka yang tinggal di Keramat ya, diulang suara, bukan penduduk Keramat.

Juga bukan merujuk kepada dawai untuk menggantung atau dalam Bahasa Inggeris, braces. Seperti yang didialogkan kawan saya untuk contoh membuat ayat dari perkataan simpai, “Dah buka simpai ekau dah yo”.

Simpai Keramat merujuk kepada satu-satunya waris yang tertinggal dalam sesebuah keluarga. Maksudnya hanya dia seorang, ibu bapa tiada, datuk nenek pun sudah tiada, adik beradik pun tiada. Pendek kata, seluruh keluarganya dihabisi dalam samada kemalangan, musibah, malapetaka, perang, dan sebagainya.

Tahukah kamu perasaan seorang Simpai Keramat? Jangan sesekali kamu mengakui faham perasaan mereka, kecuali, kamu sendiri adalah seorang Simpai Keramat. Saya cuma dapat membayangkan, ia pastinya adalah hidup yang sangat sunyi. Tanpa harapan, tanpa jaminan adanya kasih sayang, tiada tempat bergantung, tiada tempat untuk keluhan didengar dan diadukan. Sungguh, senyum pun boleh hilang. Suara juga boleh hilang. Keinginan untuk hidup juga tidak dapat dijelmakan.

Bagaimana mereka di hari pertama mereka menyedari menjadi Simpai Keramat? Ia satu perasaan yang ngilu, menggigit hingga nubari paling dalam. Mereka menunggu sekiranya ada harapan yang menjemput dalam ruang dan waktu yang sepi. Berfikir, adakah ada orang yang akan meminjamkan bahu untuk melepaskan esak tangis. Jeritan batin yang tidak tertahan, sudikah orang mendengarkan. Air mata yang tumpah, akan dibelakah?

Simpai Keramat garis dari legasi tunggal. Kerana tunggal mereka istimewa. Kerana tunggal mereka dibela oleh Yang Tunggal. Hidup mereka magis, jika mereka hidup. Hidup mereka Rahmatan Lil Alamin, jika mereka membangun tamaddun.

Mereka ini sekarang ramai di Ghazzah. Di Palestina. Di Afghanistan. Di Acheh. Di Sudan.

Nabi Muhammad adalah seorang Simpai Keramat. Terulung dalam dunia. Terunggul. Sejarah menyimpan khazanah tentang Rasulullah yang yatim ketika masih dalam kandungan ibu. Rasulullah ditinggal seorang tanpa ada adik beradik yang lain. Kemudian ketika umurnya masih kecil, Bonda Aminah pergi juga tanpa meninggal pesan. Rasulullah kemudian dititip kepada Datuk yang selepas 2 tahun meninggalkan dunia. Kemudian diasuh oleh bapa saudara yang miskin, Abu Talib. Disaat genting ketika Rasulullah butuh perlindungan, Abu Talib juga pergi. Tinggalkan Nabi sendiri.
Rasulullah, Sang Simpai Keramat, betul-betul simpai keramat yang magis. Baginda dipelihara. Meski dalam sepi tanpa tempat bergantung. Rasulullah membesar dewasa sebagai Wahdah Khaira Ummah. Sebaik-baik manusia. Semulia-mulia akhlak. Nama Baginda disebut dalam Quran, sebagai ‘abdu, yang ditinggikan maqam dengan perjalanan malam dari Makkah ke Bait Al Quds.

Simpai Keramat. Perjalanan waktu rebung yang menggigit. Teman setia, sepi dan pilu.

Jangan hairan jika antara mereka yang teranugerah dengan dalam golongan ini, kekal pergantungan mereka pada Allah. Kerana Allah dengan mereka dekat, terlalu dekat.

Kerana seorang, tempat bergantung (simpai) mereka transendental sifatnya, magis dari segi maknawi, kerana kasih sayang diutus terus dari naungan langit!

Dunia menyaksi, Sang Simpai Keramat, mengubah landskap dunia. Ketika lahir, terpancar cahaya putih di Kaabah hingga menggentarkan abid yang sedang beruzlah. Meniup padam api Majusi. Meruntuh istana Kisra Parsi. Menjungkar balik peradaban Romawi.

Putera zam-zam dan Shafa. Putera Makkah dan Mina. Putera pembawa rukun Kaabah dari segala sudutnya. Yang dihantar Jibrail ke Sidratul Muntaha.

Membawa bendera kalimah La Ilaha Illallah. Tiada Tuhan Melainkan Allah. Hanya Hu, yang Satu. Ahad. Alpha dan Omega.

Yang membawa wahyu pertama. Bacalah! Bacalah dengan nama TuhanMu yang Pemurah. Bacalah dengan nama TuhanMu yang Penyayang. Bacalah dengan nama TuhanMu yang Menciptakan. Yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Yang mengajar insan dari kalam.

Muhammad Mustafa. Sang Simpai Keramat. Wahdah Khaira Ummah.
Di akhir, kamilah yang merayu-rayu, mengantung padamu memohon dikurnia syafaat.
Allahumma solli a'la Muhammad, wa a'la ali Muhammad.

Comments

Popular posts from this blog

さくら満開

Bulan Mengambang